29 April 2021

DAKWAAN HIDUP MEWAH, PERNAH MAKAN TOMAHAWK RM1,000 - PENIAGA BURGER VIRAL PERTAHAN DIRI



Ketika ini sedang hangat isu peniaga burger Faisal burger yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 sehingga tular di media sosial. Dek kerana itu, ramai pihak yang meluahkan rasa simpati.

Kisahnya itu turut mendapat perhatian selebriti terkenal, Noor Neelofa yang menawarkan bantuan bagi menyelesaikan bayaran kompaun terbabit. Penyanyi rap dan selebriti media sosial, Caprice atau Ariz Ramli, 32, juga melancarkan tabung dana untuk membantu peniaga burger tersebut.

Belum pun reda simpati orang ramai, terbaharu peniaga burger itu sekali lagi menjadi tular namun kali ini kerana beberapa pendedahan netizen yang mendakwa terdapat 'plot twist' di sebalik kisahnya sebelum ini.

Menerusi perkongsian netizen di media sosial, mereka mendakwa peniaga berkenaan, Wan Mohd Faisal Wan Kadir dan isterinya, Nor Laili Shafii sebenarnya hidup mewah.

Klik untuk gambar besar



Dalam perkongsian tersebut, mereka turut memuat naik beberapa keping gambar yang memaparkan kehidupan sebenar Wan Mohd Faisal, antaranya pernah menikmati hidangan di restoran Tomahawk dengan bil mencecah RM1,000 lebih serta menggunakan kereta import.

Gambar-gambar tersebut dimuat naik sebagai bukti yang menunjukkan pasangan berkenaan bukanlah tidak mampu seperti yang digembar-gemburkan.

Malah kata netizen lagi, kompaun yang dikenakan ke atas peniaga burger tersebut itu memang patut disebabkan dia sudah melanggar SOP dan berniaga melebihi masa.

Bagaimanapun, menerusi posting terbaharu di laman Facebook Faisal Burger milik mereka, pasangan berkenaan menjawab segala tohmahan yang dilemparkan orang ramai.



"Time kasih dik. Kelly sabar jah... biar gi la nga mulut ore tu...banyok ya buat fitnah banyok lagi pahala buleh ko kely nga abe pesa (Terima kasih dik, Kelly sabar saja. Biarlah dengan mulut orang. Banyak fitnah, banyak lagi pahala dapat dekat Kelly dengan Abang Pesa," demikian perkongsian yang dipercayai ditulis oleh Nor Laili yang membahasakan dirinya Kelly (Kak Laili).

"Orang yang kenal kita sahaja tahu segala kisah kita. Yang duduk viral-viral tak tahu apa-apa. Sekarang ni, nak cakap yang peniaga kecil macam kita ni kena kompaun RM50,000.

"Beli kereta sebelum kehadiran wabak Covid-19. Kalau tahu Covid-19 akan melanda sampai orang berniaga tak boleh nak berniaga, kami tak akan beli," tulisnya pada perkongsian berasingan dalam dialek Kelantan.



Menyingkap ruangan komen, kelihatan ada segelintir kenalan dan netizen yang bersimpati dan memberikan kata-kata semangat buat pasangan berkenaan.

Terdahulu, pasangan berkenaan memuat naik keluhan mereka di media sosial selepas dikenakan kompaun oleh pegawai polis pada Ahad lalu.

Menerusi perkongsian tersebut, mereka meluahkan rasa kesal dan merasakan tindakan kompaun dengan jumlah tersebut sebagai tidak adil kerana mereka hanya peniaga kecil.

Dalam sidang media Selasa lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut berpendapat jumlah kompaun yang dikenakan terhadap pasangan berkenaan sebagai terlalu tinggi.








www.myartis.com / Sumber & foto: Facebook Faisal Burger

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: