05 April 2021

PATUH SOP - NEELOFA ENGGAN ULAS PANJANG, MINTA RUANG SELESAIKAN



Berhubung isu berbangkit mengenai dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu majlis pernikahan serta urusan kerjanya di Langkawi yang dikatakan berbulan madu seperti yang tular di media sosial baru-baru ini, selebriti popular Noor Neelofa, 32, berharap agar semua pihak dapat memberikannya ruang untuk menyelesaikannya.

Jelas Neelofa, dia sebolehnya mahu menyelesaikan isu ini secara profesional bersama pihak berwajib. Katanya lagi, dia enggan mengulas perkara tersebut dengan lebih lanjut kerana bimbang ia akan mengeruhkan lagi keadaan. Neelofa berkata, dia dan suami ke Langkawi memang atas urusan kerja dan semuanya ada mendapat kebenaran polis.

"Segala kerja yang saya lakukan sudah dirancang awal sebulan atau lebih. Keputusan berkenaan kerja bukanlah dibuat secara spontan. Saya ingin menyelesaikan semua perkara berkaitan kerja sebelum Ramadan ini. Syukur semuanya sudah berjaya dilunaskan. Sepanjang berada di sana, kami juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Neelofa juga sedia bekerjasama dengan polis berhubung siasatan mengenai majlis pernikahannya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang didakwa tidak mematuhi SOP.

Klik untuk gambar besar



"Saya sedia bekerjasama (dengan polis). Namun, saya minta diberikan ruang untuk saya bantu siasatan sama ada saya melakukan kesalahan atau tidak. Biar saya selesaikan secara baik dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

"Saya 'respect' (hormat) semua orang (media) di sini nak tanya benda yang sama. Namun, saya juga nak minta kepada rakan media yang lama saya kenal untuk berikan ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara profesional bersama dengan pihak yang berkenaan.

"Saya tidak mahu ulas panjang-panjang kerana ia akan memudaratkan lagi keadaan dan berilah saya ruang untuk selesaikan isu ini dengan pihak terlibat. Biar saya selesaikan dengan cara saya sendiri. Saya tak perlu nak jelas secara terperinci kepada orang di luar sana. Biar saya selesaikan dengan pihak berkenaan sahaja," ujarnya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).



Dalam pada itu, kertas siasatan membabitkan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz dijangka siap minggu ini. Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis juga akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, berbicara mengenai kehidupannya barunya sebagai isteri, Neelofa berkata, semuanya dalam keadaan baik. Neelofa juga mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus apabila ditanya sama ada dia sudah memasak untuk suaminya.

"Tak perlu ulas banyak-banyak benda itu. Semuanya baik," tutur Neelofa yang selamat bernikah dengan PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail pada 27 Mac lalu di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur.

Terdahulu, Neelofa atau Noor Neelofa Mohd Noor, 32, difahamkan terbang ke Langkawi atas urusan kerja membabitkan pembukaan cawangan francais minuman terkenal. Turut sama ialah suaminya, Haris Ismail, 26.




www.myartis.com / Sumber & foto: Harian Metro & Media Biburan

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: