21 April 2021

POSITIF COVID-19, BAPA AZLAN TYPEWRITER TENAT: "BILA-BILA MASA MESIN BANTUAN PERNAFASAN DICABUT"



"Saya reda selepas dimaklumkan oleh adik petang tadi (Selasa) tentang keadaan bapa yang semakin tenat. Sejak seminggu lalu, bapa menggunakan mesin bantuan pernafasan dan menurut adik bila-bila masa sahaja ia akan dicabut. Tidak mampu untuk saya luahkan dengan kata-kata melainkan mendoakan urusan beliau dipermudahkan.

"Bila dapat tahu... kondisinya teruk. Saya sebenarnya mampu berserah sahajalah. Apa yang tertulis, saya laluinya dengan reda. Kuasa tuhan sebenarnya. Harapan saya, semoga ada keajaiban Tuhan, kalau bapa boleh sembuh seperti sedia kala, Alhamdulillah.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya sekitar bulan lalu sebelum dia disahkan positif Covid-19. Keadaan ini sukar dijangka kerana sesiapa saja mungkin dijangkiti. Apabila tiba masanya, jaga bagaimana pun, kita tetap kena juga.

"Bapa dimasukkan ke hospital kira-kira dua minggu lepas dan bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejurus dimasukkan ke hospital kerana keadaan kesihatan yang kurang baik. Saya harap keluarga saya kuat berdepan dugaan ini.

"Sebulan yang lalu, dia masih sihat dan kami meluangkan masa bersama seperti biasa. Memang keluarga saya ada sejarah penyakit kencing manis. Tetapi tidak mengapalah, jika sudah masanya dia pergi saya ikhlaskan hati.

"Walaupun tidak dapat bertemu atau melawat beliau disebabkan SOP yang ditetapkan pihak hospital. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini," demikian kata penyanyi Azlan & The Typewriter yang berkongsi perasaan pilu apabila memaklumkan perkembangan bapanya selepas dijangkiti Covid-19 dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Serdang.

Menurut Azlan atau nama sebenarnya, Nor Azlan Rosle, 39, lagi, bapanya yang berusia dalam lingkungan 60-an turut menghidap penyakit buah pinggang dan diabetes, menyebabkan status kesihatannya dilaporkan kian merosot selepas disahkan positif wabak berkenaan.

Azlan bagaimanapun sempat bertemu dengan bapa kandungnya itu sebelum ini. Sementara itu, Azlan turut memberitahu ahli keluarganya yang lain bagaimana pun disahkan negatif Covid-19.


www.myartis.com / Sumber & foto: Media Hiburan & Astro Gempak

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: