14 April 2021

RAMAI PIHAK MAHU BANTU KHALIS - ISTERI TERHARU, UCAP TERIMA KASIH



"Setakat ini, alhamdulillah tahap kesihatan suami menunjukkan perubahan yang baik. Terima kasih saya ucapkan kepada orang ramai dan semua pihak yang prihatin serta sedia menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga dalam pelbagai cara.

"Semoga segala niat murni dan ikhlas daripada anda semua akan dibalas dengan kebaikan oleh Allah SWT. Saya tak mampu membalasnya selain hanya mengucapkan berbanyak terima kasih.

"Melihat keadaan kesihatan suami yang lebih baik berbanding sebelum ini, saya yakin ia datang daripada doa-doa anda semua yang ikhlas membuat solat hajat dan mungkin ada pihak merawat dari jauh, banyak membantu beri kekuatan untuk Khalis melalui dugaan sakit ini," kata isteri penyanyi kumpulan The Real Spin, Khalis Shari, 32, iaitu Zalina Azman.

Zalina, 40, mengakui banyak menerima kiriman mesej daripada pihak Pusat Perubatan Islam dan pusat tahfiz yang menawarkan perkhidmatan alternatif untuk membantu mengubati penyakit dihidapi suaminya itu.

Isteri Khalis ketika dihubungi berkata, sejak foto dan berita Khalis sakit tersebar, banyak pihak tidak dikenali tampil mengirim mesej untuk menawarkan pertolongan mereka sebagai usaha membantu mengubati Khalis.

Klik untuk gambar besar



Ujar Zalina, dia sangat terharu mendapat bantuan dari pihak pusat perubatan Islam dan pusat tahfiz yang turut sama banyak mendoakan kesihatan suaminya supaya pulih semula dari segala penyakit dihidapi.

"Kalau nak ikutkan, Khalis bukanlah penyanyi popular dan dikenali ramai. Tak ramai pun yang tahu dan kenal siapa Khalis. Namun, apabila melihat banyak pihak tiba-tiba hadir menawarkan perkhidmatan rawatan alternatif seperti perubatan Islam, saya bersyukur dan terharu.

"Saya pinta teruslah mendoakan Khalis dan kami sekeluarga juga akan berusaha merawatnya untuk dia kembali sihat semula. Semua penyakit ini datangnya daripada Allah dan kami reda. Saya, suami dan keluarga kami positif menghadapi dugaan ini," tuturnya lagi.

Minggu lalu, tular di media sosial foto Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari yang kelihatan amat pucat, berwajah cengkung dan badan kurus kering didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.


Penyanyi lagu 'Semakin Rindu' itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban minggu lalu selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di kediamannya. Dia juga menghidap kencing manis.

Bagaimanapun, Khalis yang kini mempunyai berat badan, 32 kilogram turut berhadapan dakwaan segelintir netizen yang mengatakan dia makin kurus kerana mengambil barang terlarang seperti dadah.

Bagaimanapun, isteri Khalis telah tampil menepis tegas dakwaan mengaitkan suaminya kurus akibat dadah berikutan Khalis bukan seorang perokok.

Jelasnya, Khalis kurus kerana penyakit kencing manis dihidapi. Apapun, wujud juga dakwaan lain mengatakan Khalis yang juga adik kepada Allahyarham Achik Spin dan abang kepada penyanyi, Tajul Ariff itu sebenarnya mengalami sakit teruk akibat sihir atau ilmu hitam.


www.myartis.com / Sumber: Harian Metro

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: