25 April 2021

TAK DAPAT BELAJAR PONDOK, MAK JAH TERKILAN



"Selalunya, setiap kali tibanya Ramadan, saya tidak terikat dengan penggambaran. Sebaliknya, saya mengikuti pengajian di sekolah pondok. Namun, masuk tahun ini, sudah dua kali saya tidak berpeluang berikutan Yayasan Al Jenderami memutuskan jumlah pelajar dikurangkan.

"Jadi, saya hanya dapat berulang-alik ke surau dan masjid terdekat. Selama ini, setiap kali Ramadan, saya gunakan tempoh sebulan untuk beramal ibadat sepenuhnya. Kiranya dalam setahun, sebulan saya beri fokus kepada Ramadan, sebulan lagi berjalan dan melancong bersama anak-anak serta 10 bulan lagi, saya mencari rezeki," kata pelakon veteran, Mak Jah.

Pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang mengkehendaki jumlah pelajar dikurangkan menyebabkan Mak Jah tidak berpeluang mendalami ilmu agama di institusi pondok pilihannya, buat tahun kedua.

Terpaksa melupakan rutin tahunan setiap kali tibanya Ramadan, Mak Jah atau nama sebenar, Maimunah Ahmad, 73, mengisi masa dengan berulang-alik ke masjid berhampiran rumah, sejak hari pertama Ramadan.

Bagaimanapun, Mak Jah bersyukur diberi kesihatan yang baik untuk melakukan ibadat dan mencari rezeki. Berkongsi perkembangan kesihatan selepas diserang kanser rahim tahap pertama, empat tahun lalu, Mak Jah masih mengambil ubat dan berpantang bagi mengelak sel kanser kembali aktif.

"Saya mengambil ubat setiap bulan bagi mengelak sel kanser kembali aktif. Diimbas kembali, empat tahun saya tidak berlakon, iaitu sejak 2016. Sepanjang tempoh itu, saya berehat dan mengikuti nasihat doktor. Alhamdulillah, syukur atas doa kawan-kawan, peminat, keluarga dan anak-anak, saya sudah bertambah baik," jelasnya.

Mak Jah berkata, dia tidak memakan daging, sebaliknya mengambil sayur, ikan dan buah-buahan: "Saya menjaga pemakanan kerana tidak mahu kanser kembali menyerang.

"Terus-terang, wang simpanan sudah tiada. Bukan itu sahaja, barang kemas dijual. Dianggarkan RM52,000 saya habiskan untuk perubatan sejak menghidap kanser," ujarnya.

Disebabkan penyakitnya, pelakon drama 'Tak Sempurna Mencintaimu' ini mengelak pergi ke tempat tumpuan ramai, apatah lagi, dia berisiko tinggi dijangkiti virus COVID-19.

"Kalau tengok tempat ramai orang, saya lebih suka duduk dalam kereta. Iyalah, kita ada penyakit, takkanlah nak tambah penyakit lagi. Apa yang ada (penyakit) sekarang saya mahu elak, apa yang datang, janganlah ditempuh.

"Saya juga berjaga-jaga di lokasi penggambaran. Saya terima tawaran berlakon dengan produksi yang tahu kelemahan saya. Selain penyakit, mereka perlu tahu saya tidak boleh naik tangga sebab saya pernah jatuh.

"Saya sudah berusia 73 tahun, tenaga saya tidak seperti dahulu," katanya yang menolak tawaran berlakon yang kurang sesuai dengannya.


www.myartis.com / Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: