10 May 2021

CIPTAAN PEMINAT SETIA - AMENG MUNCUL DENGAN LAGU RAYA SETELAH LAMA MENYEPI



Nampaknya rindu peminat akhirnya terubat apabila penyanyi kumpulan Spring iaitu Ameng tampil dengan buah tangan raya terbaharu berjudul 'Aidilfitri Yang Ku Rindu', setelah sekian lama tidak muncul dengan lagu baharu.

Lebih menarik lagi, melodi lagu ini juga digarap oleh peminat setia Ameng, Rash yang sentiasa mengikuti perkembangan seninya sejak lebih tiga dekad dia terlibat dalam bidang seni.

"Sebagai peminat fanatik kumpulan Spring, Rash sangat memahami cara nyanyian dan genre lagu yang saya hasilkan ketika bersama kumpulan itu.

"Untuk memastikan sentuhan ini memenuhi kriteria yang saya inginkan, saya turut memberikan idea dari segi komposisi melodi kerana saya mahukan keselesaan ketika rakaman.

"Dengan pengalaman yang ada, saya dan Rash berkongsi idea serta mencari titik tengah kerana mahukan proses penghasilan lagu ini memberi kepuasan kepada kedua-dua pihak," jelas Ameng dipetik sebagai berkata.

Klik untuk gambar besar



Kongsi Ameng atau nama sebenar Wan Aminuddin Wan Ismail, proses penghasilan lagu raya ini mengambil masa setahun kerana mahu memberikan yang terbaik buat peminat yang tidak jemu menyokong kerjayanya selama ini.

"Kerja penghasilan lagu ini mengambil masa hampir setahun kerana ia melalui beberapa proses penambahbaikan. Hanya selepas betul-betul berpuas hati, baharu saya mengambil keputusan untuk merakamkannya.

"Saya perlu akur dengan selera peminat tetapi pada masa sama cuba menghasilkan karya yang mengikut peredaran zaman tanpa membuang identiti muzik yang sinonim dengan saya selama ini.

"Memandangkan saya agak teliti dalam pemilihan lagu, saya tidak kisah mengambil sedikit masa untuk memastikan lagu ini memenuhi kriteria yang saya inginkan," katanya.


Ameng yang popular dengan lagu 'Sampai Hati' dan 'Butakah Cinta' itu berharap 'Aidilfitri Yang Ku Rindu' dapat diterima baik walaupun menyedari peminat muzik tempatan lebih menggemari lagu raya lama dan evergreen.

"Saya berharap pencinta industri muzik bersikap lebih terbuka dan terus memberikan sokongan terhadap karya terbaru saya, meskipun lagu raya nostalgia lebih mendapat tempat kerana sudah sebati di pendengaran ramai.

"Lagu baharu akan tetap ada kerana sebagai pengkarya, kami perlu sentiasa mencuba dan menghasilkan karya untuk terus memajukan industri muzik.

"Secara peribadi, saya tidak terlalu mengharapkan penerimaan yang luar biasa, tetapi saya percaya sudah memberikan yang terbaik seperti yang dimahukan peminat," ujar Ameng.

'Aidilfitri Yang Ku Rindu' yang diterbitkan Sony Music kini sudah boleh didapati di semua platform penstriman muzik digital.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: