25 May 2021

DAKWAAN LANGGAR SOP - KERTAS SIASATAN AWIE HAMPIR LENGKAP



Berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam satu majlis di sebuah hotel di sini, kertas siasatan terhadap penyanyi dan pelakon Datuk Awie atau nama sebenar Datuk Ahmad Azhar Othman hampir lengkap.

Timbalan Ketua Polis Melaka Senior Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya menjangkakan kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya dalam minggu ini sejurus ia lengkap sepenuhnya.

"Kertas siasatan itu hampir selesai selain itu ada saksi yang sudah dan masih ada yang akan dipanggil (jika perlu). Ia dijangka selesai dalam minggu ini dan kita akan teruskan untuk dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan SOP pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di sebuah pasaraya di Taman Lagenda, di sini, hari ini.

Sebelum ini, video klip berdurasi 42 saat tular dalam media sosial memaparkan Awie bersama beberapa individu sedang menyanyi pada majlis berbuka puasa sempena Misi Kemanusiaan Datuk Awie Bersama Sayap-Sayap Wings di sebuah hotel di Melaka.

Polis mengambil keterangan semua individu yang terbabit dalam rakaman video berkenaan. Tindakan itu diambil selepas polis menerima laporan mengenai dakwaan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada majlis itu.

Sementara itu, mengulas mengenai laporan pelanggaran SOP membabitkan seorang pemimpin politik wanita di negeri ini, beliau berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan kertas siasatan.

"Selain individu yang dimaksudkan polis juga sedang memanggil saksi yang terdapat dalam gambar itu bagi melengkapkan siasatan. Sejurus dilengkapkan ia juga akan dirujuk ke pihak DPP untuk tindakan selanjutnya," jelasnya lagi.

Baru-baru ini, polis menyiasat laporan pelanggaran SOP membabitkan seorang pemimpin politik wanita tempatan yang menjamu selera beramai-ramai serta mengunjungi rumah ahli keluarga pada raya kedua lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: