30 May 2021

HAQIEM RUSLI UMUM BAKAL KAHWIN - RAHSIA IDENTITI CALON ISTERI



Pada pukul 2 pagi Ahad, penyanyi Haqiem Rusli menerusi sesi Instagram Live telah membuat pendedahan dimana dia sudah mempunyai 'calon isteri' dan sedia berkahwin tidak lama lagi. Menurut Haqiem, dia seperti tidak percaya bahawa akhirnya mendapat kekuatan untuk berkongsi hasrat ingin mendirikan rumah tangga kepada peminatnya di media sosial.

"Tak ada apa yang saya nak rahsiakan. Perkahwinan adalah perkara yang baik dan saya mengaku sudah sedia untuk 'mendirikan masjid' seperti lelaki lain. Cuma setakat ini, saya masih belum ada tarikh yang tepat untuk melangsungkan majlis itu. Dan siapakah identiti wanita berkenaan, saya akan umum pada majlis nikah nanti," katanya pada siaran langsung tersebut.

Difahamkan, Haqiem dan 'calon isteri' sudah saling berkenalan dan menjalin hubungan rapat sejak dua tahun lalu. Ujar Haqiem, dia juga sudah mengikuti kursus kahwin pada tahun lalu. Haqiem yang tidak mahu menyembunyikan berita baik itu bagaimanapun berkata, dia belum mendapat tarikh yang tepat untuk majlis istimewa itu.

Pengakuan mengejut Haqiem bagaimanapun mendapat penerimaan baik daripada peminatnya yang rata-ratanya meluahkan rasa gembira dan bersetuju dengan keputusan dibuat komposer muda itu. Selepas mengumumkan bakal menamatkan zaman bujang akhir tahun ini dengan gadis pilihannya, Haqiem bersyukur perkara itu mendapat reaksi positif peminat-peminatnya yang mendoakan agar urusan mendirikan rumah tangga itu dipermudahkan.

Klik untuk gambar besar



Haqiem juga mengucapkan terima kasih kepada peminat-peminatnya yang memahami dan sentiasa menyokong apa juga keputusan yang dilakukan. Walaupun begitu, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli, 23, masih lagi mengunci mulut apabila enggan mendedahkan identiti bakal suri hidupnya itu.

"Saya sangat gembira dengan kenyataan peminat yang mengatakan mereka akan sentiasa menyokong saya. Saya tidak tahu bagaimana mendapat kekuatan mahu berkongsi soal mendirikan masjid ini. Tetapi, saya percaya perkara baik tidak boleh disembunyikan. Semua yang saya dapat adalah maklum balas positif, terima kasih!.

"Cuma, masih belum ada tarikh tepat mengenai bila majlis bakal berlangsung, hujung tahun ini. Jujurnya, saya pun sudah menghadiri kursus kahwin tahun lalu. Siapa calon bakal isteri, biarlah saya umumkan identitinya ketika majlis perkahwinan nanti. Saya hanya ingin peminat tahu, saya akan berkahwin, tidak lama lagi. Selebihnya, saya akan kongsi kelak," katanya.


Mengulas juga populariti dirinya, penyanyi 'Tergantung Sepi' dan 'Lembah Kesepian' ini berkata dia percaya dan yakin keputusan nak berkahwin yang dibuat adalah tepat. Kata Bintang Paling Popular Berita di Anugerah Bintang Popular BH Ke-33 (ABPBH 33) itu, tiada apa yang akan berubah dalam kerjaya seninya termasuk populariti.

"Saya dah berfikir sebaik-baiknya dan segala rezeki datangnya daripada Allah. Saya reda dengan apa saja kemungkinan yang akan dilalui selepas berkahwin nanti. Apapun, Alhamdulillah saya gembira peminat sudah tahu yang saya nak kahwin tidak lama lagi. Mereka (peminat) pun bersikap terbuka dan merestui keputusan besar saya ini," ujar Haqiem.

Setakat ini, Haqiem sangat berhati-hati berbicara soal peribadinya. Malah, dia lebih selesa berkongsi mengenai perkembangan karier berbanding percintaan. Bagaimanapun, dengan pengakuan berani dan ikhlas dibuat, ternyata Haqiem cukup serius dengan keputusan diambil. Apapun, kebanyakan peminat mengucapkan tahniah dan mendoakan semoga segala urusan perkahwinan dirancang itu berjalan lancar.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: