"Kami beri masa untuk mereka hentikan aktiviti ini dalam tempoh tujuh hari. Mengenai keuntungan jualan aksesori dan pakaian menggunakan nama Search kami tak pasti tapi menerusi surat tuntutan peguam ada meminta mereka mendedahkan akaun peniagaan yang melibatkan nama Search.
"Kami sudah dapatkan nasihat peguam dan akan memulakan tindakan undang-undang. Semua urusan berkaitan hal itu kita serahkan kepada peguam yang dilantik. Sebenarnya saya dah pernah bersemuka dengannya beberapa hari sebelum bulan Ramadan dan minta dia jangan guna nama Search, gunalah nama lain sehinggalah timbul isu ini," jelas pemain bass, Nasir.
Susulan isu penggunaan nama kumpulan Search tanpa kebenaran, bekas vokalis iaitu Amy dan Nasir memaklumkan pihaknya memandang serius mengenai isu ini dan mempertimbangkan untuk memulakan proses perundangan terhadap Mozylir Mokhtaruddin dan Home of Champions.
Klik untuk gambar besar
Menurut Nasir, mereka memberi tempoh tujuh hari kepada individu berkenaan untuk menghentikan sebarang kegiatan menggunakan nama Search dan menjawab beberapa tuntutan yang telah dihantar oleh peguam.
Nasir memaklumkan mengenai perkembangan terkini isu penggunaan nama kumpulan Search tanpa kebenaran itu menerusi siaran langsung di Instagram pada malam Jumaat. Selain Nasir, sidang media itu turut disertai oleh Amy dan waris keluarga pemain dram, Allahyarham Yazit iaitu Boy.
Pada Khamis lalu, Amy, Nasir dan waris Allahyarham Yazit memberi amaran kepada Mozylir Mokhtaruddin dan syarikat Home of Champions atas tindakan menggunakan nama kumpulan Search untuk mengaut keuntungan tanpa kebenaran. Individu dan syarikat berkenaan didakwa menggunakan nama 'fenomenasearch' melalui laman web serta menggunakan alamat emel yang memakai nama domain fenomenasearch.com.
Ini termasuk penjualan pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej yang berkaitan dengan Search melalui laman web itu, Facebook, Instagram dan Shopee selain menjual kasut Aliph x Search - Edisi 2021 atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit.
Sementara itu, Amy berkata tindakan mereka lantang bersuara mengenai isu ini adalah kerana ingin menjaga hak arwah Yazit yang meninggal dunia pada 2019.
"Saya pernah berjanji dengan arwah (Yazit) dan semua anggota Search... apa-apa berlaku kita mesti jaga hak arwah Yazit, itu kita tak pernah lupa. Selama ini kita memang jaga baik nama ini, kita nak lindungi hasil kerja yang kita pernah buat. Ya sebelum ini saya ada perselisihan faham dengan Nasir tapi sekarang kami dah berdamai dan meneruskan apa janji yang pernah kita buat dulu," ujarnya.
Search ditubuhkan pada 1981 dianggotai oleh Amy, Yazit, Hillary Ang serta Daud dan kemudiannya disertai oleh Nasir dan Noordin. Selepas album ketiga berjudul Mentari Merah Di Ufuk Timur, Hillary meninggalkan Search dan digantikan oleh Kid. Album terakhir iaitu Katharsis yang dihasilkan pada 2017 menampilkan Amy, Nasir, Noordin dan Kid tanpa Yazit yang uzur.
Amy mengambil keputusan berundur daripada Search pada tahun lalu. Search kemudian menggunakan khidmat penyanyi Wings, Datuk Awie untuk Konsert Projek Bikin Wilayah 2021. Bagaimanapun, konsert yang sepatutnya berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada Februari lalu dibatalkan berikutan penularan Covid-19.
________________________
No comments:
Post a Comment