09 May 2021

KES COVID-19 MELONJAK - WAN MAIMUNAH TOLAK TAWARAN BERLAKON & MAJLIS BERBUKA PUASA



Bintang air mata, Wan Maimunah, 68, mengakui beliau telah menolak tawaran berlakon buat sementara waktu, dek kerana bimbang melihat lonjakan angka penularan COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Pelakon veteran yang baru muncul dalam drama 'Tak Sempurna Mencintaimu' di TV3, enggan membahayakan dirinya kerana menyedari warga emas sepertinya berisiko tinggi dijangkiti wabak berkenaan. Wan Maimunah yang membahasakan dirinya 'ibu' ini percaya rezekinya sudah disusun Tuhan.

"Alhamdulillah, ibu ada menerima panggilan untuk membintangi drama slot Samarinda pula. Penggambaran sepatutnya bermula pada 1 hingga 4 Mei lalu, namun, babak ibu ditunda sehingga selepas Aidilfitri.

"Apabila dimaklumkan penundaan tarikh 'shooting', ibu amat lega kerana dalam keadaan sekarang, ibu sangat bimbang untuk keluar. Kita tidak tahu dari siapa wabak itu boleh menular. Mungkin dari persekitaran, jadi ibu rasa lebih selamat duduk di rumah sahaja," katanya.

Wan Maimunah dalam masa sama turut mengaku pada usia sekarang, beliau cukup risau kemungkinan terdedah kepada virus COVID-19.

Klik untuk gambar besar



"Bukan saja penggambaran, undangan berbuka puasa untuk sesetengah majlis juga terpaksa ditolak kerana tidak mahu terdedah kepada risiko.

"Bukan apa, majlis berbuka puasa biasanya dihadiri ramai orang. Kadang-kala ada peminat yang ingin merakamkan foto bersama, bukan ibu sombong tidak mahu bergambar dengan mereka.

"Tetapi apabila bergambar, ada yang minta ibu buka pelitup muka dan penjarakan sosial yang tidak dijaga. Sekiranya ditegur nanti ada peminat berkecil hati dan mengatakan ibu sombong pula. Jadi ibu buat keputusan lebih baik tidak pergi ke majlis yang membabitkan ramai orang," ujarnya.

Wan Maimunah memberitahu, beliau reda tidak dapat meraikan Syawal dengan bebas kerana apa yang penting, rantaian COVID-19 diputuskan. Malah, ibu kepada dua cahaya mata itu pasrah sudah hampir dua tahun tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk beraya.

"Ibu tidak risau tiada upaya meraikan Syawal bersama sanak-saudara. Sudah hampir dua tahun tidak berjumpa anak-anak dan cucu-cicit di Melaka. Apa yang paling ibu risaukan adalah angka COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari.


"Memang kalau hendak kena, di mana-mana pun boleh kerana soal ajal dan maut, Allah yang tentukan. Tapi selagi boleh dihindari, ibu akan cuba elak," tuturnya lagi.

Wan Maimunah yang berasal dari Johor itu juga enggan terlalu memikirkan berkaitan tawaran lakonan dan komitmen kewangan.

"Ibu bukan tidak fikirkan langsung soal kewangan, tapi jika difikirkan sangat pun boleh buat sakit kepala. Ibu sentiasa percaya rezeki Allah bagi. Jika ada, adalah. Kalau tidak ada pun tidak mengapa kerana ibu takut untuk keluar bekerja.

"Alhamdulillah, setakat ini, ada individu prihatin menghulurkan bantuan. Seperti ibu katakan, Allah sudah tentukan rezeki kita, rezeki tidak pernah salah alamat.

"Ibu pun tidak suka meminta. Ibu tidak kisah orang ingat ibu atau tidak. Orang lain pun ada banyak komitmen lain yang lebih besar, jadi ibu tidak suka mengharapkan orang lain," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: