20 May 2021

MENGAKU TIDAK BERSALAH LANGGAR PKPB - NEELOFA DIPERSOAL: "PAKAI NIQAB TAK PERLU PAKAI 'MASK' YA?"



Di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan, hari ini, pasangan selebriti popular iaitu Noor Neelofa Mohd Noor, 32, dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail (PU Riz), 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Neelofa dikenakan jaminan sebanyak RM5,000 atas satu pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in'. Pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan jaminan RM20,000, namun peguamnya Haresh Mahadevan memohon jumlah yang lebih rendah.

Manakala Haris atau Pencetus Ummah (PU) Riz pula dikenakan jaminan sebanyak RM10,000 atas dua pertuduhan iaitu gagal membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk 'check in' atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di premis kedai Naeem Carpet Sdn Bhd di No 219, Jalan 3/6, Kawasan Perindustrian Nilai 3, di sini, pada jam 4 petang, 2 Mei lalu.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Jun depan. Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Klik untuk gambar besar



Pasangan ini dilihat meninggalkan kompleks mahkamah kira-kira pukul 10.10 pagi tadi selepas membayar wang jaminan. Pada 4 Mei lalu, Neelofa dan Haris dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai bagi memberi keterangan selama empat jam berkaitan penularan gambar dan video mereka berada di sebuah premis menjual permaidani di Pusat Perniagaan Nilai 3 pada 2 Mei lalu.

Sementara itu, Neelofa sekali lagi meraih 'populariti' apabila didakwa tidak memakai pelitup muka oleh netizen ketika hadir di Mahkamah Majistret bersama suaminya.

Menerusi gambar dirakam pihak media di perkarangan mahkamah itu jelas kelihatan niqab dipakai Neelofa yang menjadi imej terbaharunya sejak beberapa bulan lalu menampakkan bentuk hidung dan mulutnya.

"Pakai niqab tak perlu pakai 'mask' (pelitup muka) ya?" itu antara komen pengguna laman sosial yang mempersoalkan penampilan bekas pengacara program 'Meletop' itu.


Bukan itu sahaja, beberapa pengguna laman sosial yang lain turut mempersoalkan perkara sama: "Pakai purdah pun kena pakai 'mask' juga ya Cik Kak," tulis pengguna itu.

"Lofa macam tak pakai 'facemask' jer tu…" tulis pengguna lain pula. - "Pakai purdah tak perlu pakai mask eh? Dulu macam menteri/DG kata pakai pudah pun kena pakai 'mask'" kata seorang pengguna lagi.

Pada masa sama, seorang lagi pengguna media sosial memuat naik keratan berita mengenai kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkenaan pemakaian pelitup muka bagi wanita berpurdah yang disiarkan pada 22 Oktober tahun lalu.

Noor Hisham dalam satu kenyataan kepada media dipetik sebagai berkata, pemakaian purdah dan berniqab tidak mampu menghalang mereka daripada dijangkiti.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: