28 May 2021

TAJAI & KEMADA BUAT LAPORAN POLIS ISU DURIANKIMCHI PERLEKEH PAKAIAN TRADISI IBAN



"Saya mewakili persatuan TAJAI amat kecewa serta rasa terhina di atas perbuatan tersebut kerana individu tersebut berani menyuarakan pandangan tanpa memikirkan implikasi kepada kaum lain, menyalahgunakan hak kebebasan bersuara melalui media semata-mata bertujuan untuk menyakiti perasaan kaum lain.

"Tujuan saya membuat laporan polis ini adalah tidak mahu perkara seperti ini berulang kerana ia boleh memecah-belahkan perpaduan rakyat Malaysia dan untuk diambil tindakan polis," itulah kata pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai (TAJAI), Themotty yang memberitahu, perbuatan selebriti media sosial iaitu Ryzal Ibrahim atau lebih popular sebagai pasangan Duriankimchi di dalam video adalah seperti mempersenda, membuli dan menjatuhkan maruah pakaian tradisional Iban.

Ryzal menerusi laman Instagram sekali lagi tampil membuat permohonan maaf selepas bergurau mengenai pakaian tradisi kaum Iban. Melihat pada entri tersebut, Ryzal menjelaskan dia tiada niat untuk menghina mana-mana pihak.

Klik untuk gambar besar



Ryzal dalam masa sama memaklumkan dia menerima segala bentuk penyelesaian permohonan maaf secara terbuka di mana-mana persatuan Borneo atau Iban yang berkenaan. Katanya lagi, permohonan maaf secara terbuka dan langsung dengan Persatuan Anak Borneo Semenanjung akan diumumkan kelak.

Walaupun begitu, Utusan Borneo melaporkan dua persatuan kebudayaan dan kesenian masyarakat Iban di Sibu Sarawak yang terdiri daripada Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Tajai (TAJAI) Sarawak dan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Dayak Sibu (KEMADA), telah membuat laporan polis terhadap Ryzal kerana telah mempersenda pakaian tradisional 'Ngepan' Iban.

Tambah Themotty lagi, tindakan tersebut telah mencalarkan maruah serta mengguris perasaan masyarakat Iban di mana pakaian tersebut menjadi warisan dan kebanggaan bangsanya.



Sementara itu, KEMADA yang diketuai Jackery Hillary Chukan menganggap penghinaan yang dibuat Ryzal adalah satu bentuk buli siber dan KEMADA tidak dapat menerima permohonan maaf di media sosialnya.

"Kami sebagai persatuan Dayak yang mengekalkan adat dan tradisi Iban tidak berpuas hati dengan komen-komen yang dilemparkan oleh Ryzal yang menghina pakaian tradisional kami orang Iban. Apa yang beliau cakap telah mengguris perasaan kaum Iban dan boleh mencetus dan menggugat ketenteraman awam. Oleh itu, KEMADA mahu pihak polis mengambil tindakan lanjut terhadap Ryzal," ujarnya.

Jelasnya, dia mahu Ryzal membuat kenyataan media secara terbuka dan menyatakan beliau memohon maaf kerana menghina dan mempersendakan pakaian tradisi Iban.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: