10 May 2021

"TALAK SATU... MELALUI WHATSAPP" - FIZA HALIM SAHKAN BERCERAI KALI KETIGA 22 JULAI 2020



"Saya ambil masa untuk merungkai perkara sebenar... Ia bukan mudah. Baru sekarang saya ada kekuatan untuk mendedahkan status diri. Kami bercerai talak satu. Saya diceraikan melalui aplikasi WhatsApp. Punca atau sebab kenapa kami berpisah, biarlah saya simpan dan tanggung sendiri.

"Saya tidak mahu membuka aib sesiapa," itulah kata pelakon Fiza Halim yang mengesahkan sudah pun bercerai dengan suaminya, Aizat Al Jefri pada 22 Julai, tahun lalu.

Rumah tangga yang dibina hanya mampu bertahan selama empat tahun, Fiza reda jodoh dengan juruterbang berstatus duda dua anak itu tidak berpanjangan. Mereka berkahwin pada Disember 2016.

Fiza atau nama sebenar Siti Zaidatul Fiza Abdul Halim, memberitahu baru kini dia mempunyai kekuatan untuk memaklumkan perkara sebenar selepas lama memendam rasa dan melindungi status diri.

Klik untuk gambar besar



Bekas anggota kumpulan Elite itu yang mengambil masa lama untuk kongsikan mengenai perceraian ketiganya itu kerana bimbang akan ada pandangan serong. Fiza sedar hakikat dirinya sudah bercerai tiga kali mengundang persepsi serong masyarakat.

"Pasti ada yang akan memandang serong. Namun, saya hanya manusia biasa yang tidak lepas diuji. Saya tak hidup dek puji, tak mati dek keji," jelas ibu kepada tiga cahaya mata ini.

Dalam pada itu, Fiza mengakui sukar untuk melelapkan mata sejak tiga minggu lalu apabila memikirkan pelbagai perkara termasuk nasib yang menimpa dirinya.



"Mata mengantuk, tetapi tidak boleh tidur. Otak seolah-olah berjalan memikirkan pelbagai perkara termasuk nasib diri. Saya hilang arah dan terkapai-kapai memikirkan pengakhiran hidup.

"Namun, saya bersyukur ada yang datang membuka jalan mencuba kerja baharu. Mungkin saya akan mempertimbangkan tawaran kerja itu," ujar Fiza kepada media.

Bagaimanapun, pelakon berusia 42 tahun itu bersyukur bekas suami pertama, Ahmed Farriq Zainul mengambil berat terhadap dua cahaya mata mereka iaitu Ferra Aryana, 13, dan Feeya Adyrra, 12. Fiza dan Ahmed Farriq bercerai pada 4 November 2010 selepas hampir empat tahun berkahwin.



Menerusi perkahwinan ketiga dengan Aizat, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Baby Aleena yang kini berusia hampir tiga tahun.

Terdahulu, Fiza pernah berkahwin kali kedua dengan penyanyi Akademi Fantasia, Adam, pada September 2013 namun bercerai pada September 2016 dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Fiza menjawab gosip konon berkahwin dengan pelawak dan pelakon Saiful Apek gara-gara tersebar foto mesra mereka yang dikongsi Fiza di Instagram (IG).

"Tidak ada istilah saya menjadi isteri keduanya. Kami hanya bertemu di sebuah program 'game show'. Foto yang tular itu dirakamkan isterinya sendiri. Kami sama-sama ketawa apabila mendapat tahu gosip bertebaran," tambahnya yang juga memaklumkan dia belum terfikir untuk kembali aktif dalam dunia seni.






www.myartis.com / Foto: Instagram Fiza Halim

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: