08 May 2021

TERIMA BANTUAN - ISTERI KHALIS LUAH RASA SYUKUR



Mengenai keadaan terkini penyanyi kumpulan The Real Spin, Khalis Shari, 32, yang terlantar akibat menghidap kencing manis yang serius, isterinya iaitu Zalina Azman memaklumkan keadaan suaminya semakin baik berbanding sebelum ini.

Zalina baru-baru ini menerima kunjungan Persatuan Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) yang diwakili Presidennya, Ayob Abd Majid dan Exco Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani pada 6 Mei lalu.

"Alhamdulillah banyak pihak perubatan Islam yang bantu dengan rawatan secara jarak jauh. Juga iringan doa daripada sahabat dan peminat serta rakyat Malaysia, keadaan suami semakin baik berbanding sebelum ini," katanya.

Menurut Zalina, tidak terkecuali dia juga menerima panggilan daripada pusat tahfiz di mana anak-anak tahfiz terbabit mengadakan solat hajat dan mendoakan kesembuhan suaminya.

"Ikutkan memang ramai juga perawat Islam hubungi untuk bantu dari jauh kerana pergerakan mereka terbatas untuk datang sini. Dari sudut lain, saya bersyukur kerana syarikat rakaman lama Khalis iaitu Solaris Records dan syarikat rakaman terbaru MVM turut bantu memberi sumbangan untuk keperluan suami.

"Selain itu, Baitumal Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) ada datang beri sumbangan wang tunai dan keperluan dapur," ujarnya yang kini menetap di Senawang, Seremban.

Terdahulu, media menyiarkan kesungguhan Khalis yang tidak kisah bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara kehidupan keluarganya yang besar.

Zalina berkata, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama, suaminya mengadakan persembahan di Johor dan wang itu disimpan untuk kelangsungan hidup keluarga.

"Kami ada tujuh anak iaitu dua anak dengan Khalis, tiga anak dengan bekas suami saya dan dua lagi anak saudara iaitu anak arwah kakak. Sekarang lima anak kami masih bersekolah. Khalis tak pernah mengeluh bekerja keras untuk menyara keluarga.

"Selepas berhenti kerja sebagai pengawal keselamatan pada Oktober 2018, dia bantu saya berniaga kedai makan pada awal 2019. Namun ia hanya mampu bertahan selama empat bulan dan terpaksa ditutup kerana pemilik kedai ambil balik kedai itu," tuturnya.

Sementara itu Ayob berkata, mereka hadir melawat dan menyampaikan bantuan sumbangan beberapa penaja antaranya Yayasan Felda dan Ellojoy: "Kami mendoakan serta berharap semoga Khalis akan kembali pulih dan dapat meneruskan baktinya dalam bidang seni," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial foto Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari yang kelihatan amat pucat, berwajah cengkung dan badan kurus kering didukung seseorang masuk ke dalam kereta untuk dibawa ke hospital.

Penyanyi lagu 'Semakin Rindu' itu dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban selepas ditemui dalam keadaan separuh sedar di kediamannya. Dia juga menghidap kencing manis.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: