25 June 2021

BILA JANNA NICK 'TARGET' KAHWIN BILA RAMBUT PANJANG SAMPAI PINGGANG



Pelakon Janna Nick sering tampil dengan imej rambut pendek, namun penampilannya sejak akhir-akhir ini dilihat berbeza apabila dia mula menyimpan rambut sehingga paras bahu sehingga menarik perhatian peminatnya.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner menerusi Instastory miliknya berkongsi pertanyaan daripada peminat yang ingin mengetahui kenapa dia menyimpan rambut panjang: "Janna, kenapa pilih untuk rambut panjang kali ini?" tanya individu tersebut.

Pelakon berusia 26 tahun ini telah tampil membalas pertanyaan tersebut dengan mendedahkan dia berhasrat untuk memiliki rambut panjang ketika di majlis perkahwinannya nanti.

Bagaimanapun pelakon drama siri 'Marry Me Senorita' ini ketika dihubungi menafikan perkongsian tersebut merupakan bayangan dia bakal berkahwin tidak lama lagi. Menurut Janna, dia hanya akan berkahwin apabila rambutnya panjang sehingga paras pinggang yang mungkin mengambil masa dalam satu atau dua tahun lagi.

Klik untuk gambar besar



"Macam yang saya tulis di Instagram, saya pilih untuk simpan rambut panjang sebab masa kahwin nanti nak gaya rambut panjang. Tapi bukanlah bermaksud yang saya beri bayangan akan kahwin dalam masa terdekat. Ikutkan sekarang pun rambut saya baru paras bahu. Maknanya lama la lagi (kahwin).

"Saya nak tunggu rambut paras pinggang... Insya-Allah mungkin waktu itu saya akan kahwin. Jadi kena la tunggu rambut saya sampai paras pinggang nanti," kata Janna yang kini menjalinkan hubungan cinta dengan pelakon kelahiran Switzerland iaitu Dini Azan Schatzmann sejak Jun 2019.

Sempena ulang tahun kelahiran Janna yang ke-26 pada 1 Jun lalu, pelakon itu menerima kejutan daripada teman lelakinya yang menghadiahkan sebuah motosikal jenis skuter Vespa.



Dalam pada itu, Janna yang juga seorang penyanyi dan pengacara ini mengakui dia tidak pernah tertekan dengan pertanyaan berkaitan perkahwinan. Malah, penyanyi lagu 'Akan Bercinta' tersebut gembira apabila kerap menerima pertanyaan tersebut kerana beranggapan ramai peminat yang tidak sabar untuk melihat hari bahagianya.

"Sejujurnya, soalan bila nak kahwin itu tak memberi tekanan pun dekat saya. Sebab saya percaya pada perancangan Allah dan kita pun tahu apa perancangan kita sendiri. Sebenarnya saya gembira apabila orang selalu bertanyakan soalan jodoh sebab bagi saya mungkin mereka ini yang teruja nak menantikan hari bahagia saya.

"Lagipun, saya lihat banyak komen yang positif apabila melibatkan soal jodoh, malah ramai juga yang mendoakan yang baik-baik untuk saya," ujar Janna yang merupakan pengacara bagi program Melodi itu.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: