24 June 2021

ELYANA MULA ALAMI PECAH LIDAH & ULSER SELEPAS SESI KE-6 RADIOTERAPI



"Sekarang ini saya masih di hospital dan buat rawatan radioterapi. Semalam sudah sesi keenam jadi ada empat lagi. Di sini bukan setakat buat radioterapi, tapi juga tambah darah, masukkan susu dan benda lain.

"Sekarang baru terasa kesan radioterapi selepas kali keenam. Kebiasaannya kesan rawatan ini memang lambat sikit. Kesannya sudah mula pecah lidah dan bahagian dalam ada ulser sebab panas. Maksudnya kesan rawatan ini sudah mula bertindak balas.

"Sekarang ini saya kena bersabar sikit dengan kesan radioterapi ini. Untuk pernafasan, Alhamdulillah lebih baik dari sebelum ini. Batuk pun makin kurang," ujar penyanyi dan pelakon Elyana.

Elyana yang sudah 10 tahun menghidap kanser limfoma tahap empat itu memaklumkan, dia mula mengalami pecah lidah dan ulser dalam mulut selepas menjalani sesi keenam rawatan radioterapi di sebuah pusat perubatan di Subang Jaya, semalam.

Klik untuk gambar besar



Tambah Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, kesan rawatan itu lambat bertindak balas seperti pengalaman sebelum ini. Elyana berkata, rawatan radioterapi kali ini lebih tenang berbanding beberapa siri rawatan yang pernah dibuat sebelum ini.

"Mungkin sebab sudah ada pengalaman yang lepas, jadi sudah tahu macam mana nak kawal. Alhamdulillah kali ini lebih tenang. Selepas itu banyak sangat kata-kata semangat, doa orang ramai yang saya tak kenal, yang bersedekah dan mendoakan. Memang saya tak sangka. Mungkin dari situ saya dapat kekuatan dengan kata-kata positif semua orang," katanya.

Terdahulu, penyanyi lagu 'Kalis Rindu' itu terpaksa menggunakan bantuan oksigen untuk bernafas ketika mula menjalani rawatan radioterapi sejak pertengahan bulan ini.


Dalam masa sama, Elyana turut mengalami pengurangan berat badan sehingga terpaksa dibekalkan satu pek susu untuk dimasuk ke dalam badan selama 16 jam.

Pada 16 Jun lalu Elyana menerusi bual bicara langsung di laman Instagram miliknya memaklumkan dia nekad menjalani rawatan radioterapi itu untuk kesembuhan penyakit kanser demi keinginan mahu terus bermain bersama anak-anak.

Menurut Elyana, dia perlu melakukan rawatan radioterapi berkenaan sebanyak 10 sesi dan harus menghadapinya dengan cekal hati berikutan berat badan yang semakin merosot.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: