17 June 2021

INGATKAN BERI RM1,000 KEPADA MUBARAK MAJID - BELL TAK SANGKA KENA 'SCAM'



"Saya memang ingat mesej WhatsApp itu daripada Mubarak. Saya memang tak berfikir panjang kerana memang ingat dia perlukan bantuan. Lagipun saya dah kenal dengan 'uncle' Mubarak sejak kecil lagi dan mana mungkin saya syak apa-apa. Dia juga sudah lama berlakon, jadi apa salahnya saya membantu ketika dia dalam kesusahan.

"Malangnya itu bukan dia, tapi penipu yang menyamar sebagai Mubarak. Saya anggap wang yang sudah dimasukkan itu sebagai sumbangan sajalah," demikian kata pelakon Bell Ngasri, 41, apabila dia kerugian RM1,000 selepas menjadi mangsa penipuan 'scammer' yang menyamar sebagai pelakon senior Mubarak Majid yang kononnya mahu meminjam wang sebanyak itu.

Bell ketika dihubungi berkata, dia menganggap apa yang berlaku kepadanya itu sebagai pengajaran. Bell berkata, dia juga enggan marah-marah dan tertekan kerana sedar pada ketika pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ketika ini, banyak orang terjejas dan sanggup melakukan penipuan.

"Nak kata apa lagi, melainkan saya lebih berhati-hati selepas ini. Situasi yang saya tak duga dan sudah berlaku ini memberi pengajaran besar. Apatah lagi, ini kali pertama saya kena 'scam'.

"Mujur juga saya hanya masukkan RM1,000 walaupun orang itu terus mendesak supaya dimasukkan duit lagi. Tapi, kasihan juga pada seorang rakan pelakon kerana kena tipu sebanyak RM1,700 oleh individu yang sama," ujarnya.

Menurut Bell, dia mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati terhadap sesiapa saja yang mengirim mesej di telefon meminta bantuan.

Kata Bell yang popular dengan watak Barkoba dalam filem '18 Puasa Di Kampong Pisang' dan 'Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa' itu, selidik dulu untuk kepastian supaya tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab.

Selain Bell, beberapa rakan artis turut menerima mesej sama daripada 'scammer' terbabit yang menggodam aplikasi WhatsApp di telefon milik Mubarak sejak semalam.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: