21 June 2021

JADI 'FRONTLINER' - ISMA YUSOOF BERBAKTI TANPA GAJI



"Sebelum ini saya terbaca iklan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di FB yang minta orang ramai menjadi sukarelawan bagi membantu petugas barisan hadapan. Jadi, saya buat permohonan dengan isi borang. Di situ, saya nyatakan tidak ada latar belakang perubatan. Jadi, saya fikir mereka takkan panggil.

"Tapi mereka menghubungi juga, dan sekali lagi saya cakap tak ada latar belakang perubatan. Mereka beritahu, saya boleh buat kerja bahagian logistik. Memandangkan saya tinggal di Bukit Beruntong, jadi saya lapor diri di Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor. Dari situ, saya dihantar ke Klinik Kesihatan Serendah dan memang dekat dengan rumah," begitulah kata pengarah dan pelakon terkenal, Isma Yusoof, 39, yang kini menjadi sukarelawan di Klinik Kesihatan Serendah, Hulu Selangor.

"Awalnya seminggu saja, tapi apabila mula kerja saya tengok klinik ini memang perlukan tenaga pekerja tambahan. Sebab ramai petugas hospital dan klinik dihantar ke pusat kuarantin Covid-19. Jadi, di klinik ini kekurangan kakitangan. Justeru, kehadiran saya sedikit sebanyak membantu meringankan kerja mereka.

"Doktor ada jumpa dan minta saya menjadi sukarelawan sehingga Oktober. Tapi saya cakap kena realistik iaitu selagi kerja hakiki tidak panggil, insya Allah saya boleh bantu. Namun, kalau satu hari nanti sudah boleh menjalani penggambaran dan ada tawaran, saya kena kerja juga. Sebab saya perlu juga jana pendapatan.

"Kerja di klinik sekarang, saya tak ada bayaran. Makan dan pengangkutan pun sendiri. Doktor pun kata okay. Jadi, sekarang saya sambung setiap minggu sementara masih belum 'shooting'," ujarnya yang mula bertugas sejak tiga minggu lalu.

Dia berbuat demikian tanpa sebarang bayaran bagi membantu klinik itu selagi aktiviti penggambaran masih belum dibenarkan beroperasi.

"Ini bukan pertama kali saya menjadi sukarelawan. Sebelum ini pernah juga di perkampungan Orang Asli, kutip sampah di pantai, ajar budak kampung berlakon dan banyak lagi. Ini kerana, kerja sukarelawan amat bagus untuk mereka yang ada masalah kesihatan mental.

"Ada pakar terapi pernah beritahu saya, yang mana ini adalah terapi untuk golongan yang ada masalah kesihatan mental seperti saya. Sejujurnya, memang betul. Apabila bekerja yang tidak menawarkan gaji atau duit, ia tak memberi tekanan.

"Penat tetap penat, tapi apabila tidak membabitkan duit, ia macam makanan jiwa. Terisilah jiwa dengan rasa gembira dan bahagia sebagaimana yang saya lalui ini," tambahnya dipetik sebagai berkata melalui Harian Metro.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: