04 June 2021

KES COVID-19 MENINGKAT - FARADHIYA AKUI IBUNYA RISAU, DISURUH TERBANG KE LONDON



Semua sedia maklum mengenai kes jangkitan Covid-19 di Malaysia yang semakin tinggi. Dek kerana itu, penyanyi dan pelakon Faradhiya mengakui perasaannya memberontak ingin saja ke London untuk bersama ibunya di sana kerana terlalu bimbangkan jumlah kes tersebut.

Farahdhiya atau nama sebenarnya Faradhiya Mohd Amin, 37, berkata, ibunya pun ada menyuruh dia dan abangnya ke sana, namun apakan daya kerana negara buat masa ini menutup pintu sempadan.

"Ibu saya terlalu risau mengenai keadaan kami di sini hingga suruh tinggal bersamanya di sana buat masa ini sehingga keadaan reda. Alangkah baiknya jika hal itu mudah, nak terbang sekarang pun susah," katanya.

Faradhiya memberitahu, dia kecewa dengan sikap segelintir rakyat negara yang tidak ambil berat mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan ketika ini.

Klik untuk gambar besar



Menurutnya, dia sehingga takut untuk membaca berita mengenai Covid-19 yang baginya tidak berkesudahan. Dia sedih terbaca mengenai kematian walaupun bukan orang terdekatnya.

"Takut untuk mendengar keputusan harian Covid-19. Saya takut melihat kes kematian semakin hari semakin meningkat. Saya sedih memikirkan orang-orang yang kehilangan orang tersayang.

"Saya juga susah untuk tidur malam apa memikirkan mengenai perkara itu. Ya, mereka bukan bapa saya, bukan juga ibu saya, bukan adik-beradik saya atau ahli keluarga saya, tapi saya tetap rasa, saya tetap menangis sebab saya ada hati dan perasaan," jelasnya.



Dalam pada itu, Faradhiya berdoa supaya semua pihak berganding bahu menangani bersama penularan kes jangkitan sekarang. Tambahnya lagi, dia yakin ramai sudah tidak sanggup berjauhan dengan ahli keluarga.

"Kasihanilah barisan hadapan semua, sebelum mereka rebah buatlah sesuatu. Kasihanilah kami semua, tak takutkah jika perkhidmatan kesihatan negara kita lumpuh?

"Tolong laksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang pertama dulu. Kita sudah tidak mampu berdepan kehilangan lebih banyak nyawa. Kita semua rindu keluarga kita, kawan-kawan kita, terlalu rindu.

"Kita perlu akhiri semua ini supaya kita semua dapat berjumpa mak ayah, adik-beradik, kawan-kawan kita semula. Supaya kita dapat bekerja dan hidup seperti dulu. Ya, ia akan ambil masa tapi kita perlu lakukannya dengan lebih teratur," ujar Faradhiya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: