15 June 2021

"SAYA BERDOA UNTUK LEBIH KUAT, DEMI SUAMI" - ASHIRA REDA DENGAN UJIAN



"Apa yang pasti, suami saya belum sihat sepenuhnya lagi. Empat jari kaki sebelah kirinya sudah tiada, luka kesan daripada pembedahan itu yang masih belum baik. Berkemungkinan, selepas ini ibu jari kaki kirinya pula akan dibuang kerana sudah hitam.

"Bagaimanapun, Bad kini sudah dibenarkan pulang ke rumah, tetapi selang sehari perlu berulang ke klinik untuk mencuci luka di kakinya dan dia juga perlu sentiasa makan ubat.

"Suami kini, memang terpaksa bergantung kepada tongkat sahaja untuk dia berjalan, badannya sudah semakin susut berikutan kurang selera makan.

"Kami kini sedang menantikan temu janji seterusnya daripada pihak hospital. Baru-baru ini, kami ada ke hospital tetapi diminta menunggu dahulu," kata penyanyi Ashira dimana dia dan suaminya yang juga anggota kumpulan Indigo, Badrul Izhan Yeop Abdullah atau Bad, 46, akur dengan ujian yang menimpa mereka.

Klik untuk gambar besar



Kehidupan di dunia ini penuh dengan ujian. Namun, setiap dugaan yang datang itu diakui perlu ditempuh dengan penuh kesabaran dan reda. Biarpun belum sempat mengecap kemanisan alam berumah tangga.

Masakan tidak, selepas dua minggu diijabkabulkan pada 11 Mac lalu, Bad dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi menjalani pembedahan memotong satu jari kaki kiri yang luka akibat penyakit diabetes dihidapinya.

Bagaimanapun, Bad sekali lagi dimasukkan ke PPUM pada 9 Mei lalu. Namun, kali ini tiga jari kaki sebelah kirinya pula terpaksa dipotong untuk mengelakkan bakteria merebak ke ibu jari kaki. Ujian terhadap Bad tidak terhenti di situ saja apabila ibu jari kakinya juga kemudian, perlu dipotong akibat gangren.



Menurutnya, ujian yang terpaksa mereka berdua lalui cukup berat, namun dia perlu kuat demi suaminya itu. Ujarnya, Bad perlukan sokongan semangat yang padu daripada keluarga.

Kata Ashira, suaminya juga tidak pernah menunjukkan tanda putus asa meskipun, dia tahu yang jauh di sudut hati suaminya pasti terselit sedikit kekecewaan kerana perlu menanggung kesakitan itu.

Malah katanya, Bad juga sering meminta maaf kepadanya kerana terpaksa mengharungi semua ujian itu di awal perkahwinan mereka yang masih baharu dibina.



"Setakat ini, suami saya tidak pernah menunjukkan kekecewaan mahupun kesedihannya. Tapi, saya tahu dia memendam rasa sedih, kecewa dan pada masa sama terpaksa menahan sakit.

"Sebagai manusia biasa, saya akui ada ketika berasa tertekan juga lebih-lebih lagi, kami baharu saja berumah tangga. Boleh dikatakan, kami belum sempat pun merasai kemanisan perkahwinan.

"Sesekali timbul juga pertanyaan dalam hati saya, kenapa seberat ini ujian yang diberikan untuk kami. Malah, ada masanya timbul juga rasa kecewa.

"Tapi saya perlu reda kerana semua itu sudah tertulis dan Allah adalah sebaik-baik perancang. Saya kini hanya mampu berdoa untuk lebih kuat, demi suami," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: