24 June 2021

"TIADA MASALAH UNTUK CARI MAKAN... SYARATNYA JANGAN LUPA TAAT PERINTAH ALLAH" - IZAM EYE



Penyanyi Izam EYE yang pernah terkena serangan angin ahmar ringan pada 2019 itu telah berkongsi mengenai kehidupannya dalam tempoh penularan Covid-19 sejak lebih setahun lalu.

Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 53, berkata, dia kini menyanyi secara maya menerusi Facebook. Menurutnya, hidup mereka tidaklah mewah, tetapi amat sederhana.

"Tiada masalah untuk cari makan. Untuk Allah permudahkan kehidupan kita, syaratnya jangan lupa taat perintah Allah. Sesusah mana pun kita, Insya-Allah ada kelapangan (rezeki) jika kita taat pada perintah-Nya. Keluarga saya besar dengan dua isteri yang tak bekerja dan tujuh anak.

"Empat anak pula sudah bekerja. Rezeki tetap ada untuk kami, malah saya bersyukur dapat bayar sewa rumah lebih RM1,000 sebulan menerusi pendapatan ini," katanya.

Terdahulu, Izam yang mencipta populariti bersama kumpulan EYE pada 1990-an menerusi pelbagai lagu seperti Izinkan Selamanya Namamu Di Hati diserang angin ahmar ringan selepas pulang dari menjayakan misi membantu kerja dakwah di Kuantan, Pahang pada 24 Jun 2019.

Dia dikejarkan ke Hospital Serdang dan selepas seminggu menerima rawatan dibenarkan pulang dan berehat di rumahnya di Cheras, Kuala Lumpur.

"Alhamdulillah, kesihatan saya beransur baik dan sudah boleh berjalan. Yang penting saya masih boleh menyanyi. Namun saya tiada rawatan khusus.

"Saya buat sendiri program menyanyi dari rumah sejak beberapa hari lalu. Konsepnya seminggu saya hanya tampilkan satu lagu. Saya buat rakaman kerana untuk 'live' perlukan sistem bunyi yang sempurna. Segala-galanya dibuat sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak," jelasnya.

Menurutnya, dia tidak mengharapkan dana atau pertolongan mana-mana pihak kerana prosesnya agak rumit. Dalam masa sama, Izam berterima kasih kepada beberapa persatuan yang menyumbang barangan keperluan dapur untuknya.

"Lebih baiklah saya jalan sendiri. Yang penting saya menyanyi elok-elok untuk bawa nama EYE. Nama kami pun agak besar hingga ke Indonesia. Orang boleh tengok di Facebook dan tontonan cecah 70,000 sekali siaran.

"Dari situlah mereka buat sumbangan. Persembahan saya ada secara akustik diiringi petikan gitar anak sendiri. Ia lain dari yang lain. Syukur kami boleh cari makan," ujar Izam.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: