24 June 2021

BELAJAR BERHIJAB - APRENA JALANI RAWATAN KESUBURAN, TERTEKAN BELUM DIKURNIA ZURIAT



"Sudah tentu saya tertekan kerana masih belum dikurniakan anak walaupun sudah lama berkahwin. Saya memang inginkan anak, tetapi masih belum ada rezeki lagi. Saya percaya kepada segala aturan Allah.

"Alhamdulillah, ramai yang memberi kata dorongan dan doa yang baik-baik," ujar pelakon Aprena Manrose, 28, yang mengakui tertekan apabila belum lagi dikurniakan cahaya mata, meskipun sudah empat tahun mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Aprena atau nama sebenarnya Wan Syahera Putri Aprena Wan Syahman berkata dia belum pernah berdepan tekanan emosi dan ramai yang memberikan kata-kata sokongan terhadapnya.

Dalam pada itu, Aprena berkongsikan dia kini menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta sejak bulan lalu dan memohon orang ramai mendoakan agar dipermudahkan dikurniakan zuriat.

Klik untuk gambar besar



"Saya juga telah menjalani rawatan kesuburan di sebuah hospital swasta pada bulan lalu dan masih diteruskan untuk bulan ini. Jika saya berjaya mendapatkan anak saya akan kongsi berkenaan rawatan yang dibuat. Sekarang saya hanya mohon doa agar dikurniakan rezeki anak," katanya.

Sejak kebelakangan ini, penampilan Aprena yang dilihat berhijab itu telah mengundang tanda tanya netizen. Aprena berkata dia dalam proses belajar sejak Ramadan lalu namun mengakui belum berhijab sepenuhnya.

"Ya, saya sedang belajar untuk bertudung. Sebab itu, saya tidak mahu bercakap apa-apa (tentang berhijab) kerana tidak tahu bagaimana masa depan. Saya masih terima tawaran lakonan yang tidak bertudung sebab memang sudah dijanjikan sebelum ini," jelas Aprena yang belajar berhijab sejak Ramadan lalu.

Untuk makluman, Aprena mendirikan rumah tangga Mohd. Afiq Hazman pada tahun 2016. Aprena merupakan anak kepada Raja Dangdut, Iwan yang kini sudah meninggalkan dunia dangdut dan beralih ke muzik ketuhanan.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: