30 June 2021

TIADA NIAT BUKA PEKUNG DUNIA HIBURAN - ADREA ABDULLAH KATA HAKIKATNYA TAK SEMUA INDAH



"Saya cerita sebagai iktibar supaya orang baharu jangan rasa terlalu senang atau naif tentang sesuatu perkara itu. Lagipun sepanjang saya bercerita, saya tidak pernah dedahkan nama sesiapa dalam perkongsian tersebut... malah saya sendiri tutup ruangan komen agar tiada sesiapa boleh tinggalkan komen berbentuk fitnah dalam entri saya itu.

"Bagi saya apa yang diceritakan itu bukan hanya berlaku dalam industri hiburan sahaja, semua industri pekerjaan sama sahaja... ini adalah realiti sebab saya pun pernah bekerja dalam bidang hartanah, perbankan dan insurans sebelum ini," itulah kata pelakon Adrea Abdullah.

Perkongsian Adrea tentang pengalamannya dalam industri hiburan di laman sosial telah menimbulkan rasa kurang senang segelintir pihak, termasuklah pengarah terkenal Shahrulezad yang tampil menyelar tindakan seorang artis wanita yang khabarnya telah membuka pekung artis-artis di Malaysia menerusi laman sosial.

Adrea, 44, yang dihubungi berkata, apa yang dilakukan itu bukanlah untuk membuka aib sebaliknya memberi pengajaran kepada pelakon baharu agar lebih berhati-hati. Katanya, dia hanya berkongsi pengalamannya dalam industri hiburan kerana tidak semua apa yang dilihat dalam dunia seni ini indah seperti yang digambarkan.

Klik untuk gambar besar



Hanya menjadikan videonya sebagai satu hiburan, pelakon filem 'Blok 404' itu turut menjelaskan bahawa dia tidak kisah jika tiada pengarah atau mana-mana penerbit yang enggan lagi bekerjasama dengan dirinya disebabkan perkara tersebut.

"Saya tidak kisah... sebab bagi saya rezeki semua datang daripada Allah SWT. Kebanyakan yang tengok video saya itu kata mereka terhibur dengan perkongsian tersebut sebab saya berlaku jujur dengan apa yang berlaku dalam industri.

"Lagi satu saya tidak pernah dedah nama mana-mana individu yang dimaksudkan sebab tujuan saya hanya nak beri pengajaran kepada artis-artis baharu... ada kawan baik saya sendiri yang DM tanya siapa, pun saya tak beritahu.



"Bagi saya perkara sebegitu, biar saya seorang sahaja yang tahu. Saya cuma kongsikan perkara itu sebab sekarang semua orang berada dalam keadaan stress, memang saya buat video itu just for fun, nothing serious," jelasnya.

Terdahulu, menerusi hantaran TikTok Adrea, dia mendedahkan bahawa pernah ditawarkan untuk menjadi kekasih seorang produser jika ingin memegang watak utama.

Namun, enggan maruahnya dipijak, Adrea telah menolak tawaran tersebut sehingga menyebabkan watak tersebut beralih tangan kepada seorang pelakon wanita lain.

Malah, dedahnya lagi, ada pengarah terkenal yang datang ke set penggambaran dengan gaya yang keterlaluan selain rakan artis yang suka bersembang lucah dengan para pelakon.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: