13 June 2021

TIDAK DAPAT BAYAR PINJAMAN TERTUNGGAK - DELIMAWATI PASRAH JIKA KERETA 'DITARIK'



"Saya pasrah. Namun, apa yang merisaukan hati ini jika kereta saya 'ditarik' oleh pihak bank kerana tidak dapat melunaskan pinjaman. Apatah lagi, saya sudah beberapa bulan tidak mendapat tawaran berlakon. Kini, saya akui hanya mampu tawakal dan berdoa yang baik-baik saja.

"Bagaimanapun, kereta itu penting untuk saya bergerak bagi ke lokasi penggambaran dan keluar bekerja," itulah kata pelakon filem 'Hantu Kak Limah', Delimawati Ismail, 63, yang mengakui dia kini pasrah di sebalik kebimbangannya memikirkan keretanya mungkin akan ditarik oleh pihak bank.

Jelas Delimawati, dia kini tidak dapat membayar pinjaman kenderaan yang tertunggak dan itu diakui amat merisaukannya. Menurut Delimawati, bagi urusan tempat tinggal termasuk makan minumnya, dia masih beruntung kerana tinggal bersama anak bongsu dan menantu.

"Soal makan minum, setakat ini Alhamdulillah kerana ada anak yang menanggung saya. Apa yang anak, menantu dan cucu saya makan, itulah rezeki yang kami kongsi bersama. Saya bersyukur dan rasa bertuah kerana ada anak dan menantu yang masih mahu mengajak saya tinggal bersama mereka. Jadi 'lepaslah' soal makan minum dan tempat tinggal itu," jelasnya.

Klik untuk gambar besar



Menurut Delimawati, dia harus bekerja dan terus berlakon untuk membantu menantunya mencari rezeki. Katanya, buat masa ini hanya menantu saja yang bekerja manakala anaknya pula seorang suri rumah.

Wanita yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak ini berkata penularan Covid-19 yang berlaku dalam negara sejak tahun lalu sesikit sebanyak memang menjejaskan pendapatannya serta tawaran lakonan diterima.

Delimawati dilihat melonjak dalam kerjaya lakonan menerusi karya arahan Mamat Khalid, antaranya seperti Rombongan Cik Kiah Ke Sukan Komanwel, Heri Bota, Hantu Kak Limah Balik Rumah, Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit dan siri filem Kampung Pisang.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: