16 July 2021

ADIK BENJY BERHARAP TIADA LAGI PERTELAGAHAN TENTANG ARWAH ABANGNYA



"Saya harap semua orang maafkan Ben (Benjy) apa yang dia sudah buat, minta halalkan makan minumnya, tolong sedekahkan bacaan yasin dan al-Fatihah supaya dia tenang-tenang di sana. Tak payah lagi semua mahu bergaduh sesama sendiri atau terus mempertahankan pendapat masing-masing.

"Itu lebih baik," kata adik Allahyarham Benjy, Inessa Irdayanty yang memohon supaya tiada lagi pertelagahan dalam media sosial berhubung situasi sebenarnya abangnya yang tidak diketahui orang luar.

Genap lima hari Allahyarham Benjy dijemput Ilahi, Inessa juga berharap, pihak lain tidak bergaduh atau berbalas kenyataan sesama sendiri. Paling penting katanya, maafkan segala perbuatan serta mendoakan kesejahteraan arwah di sana.

Semalam, anak bongsu daripada tiga bersaudara itu membuat pendedahan mengenai seorang pelakon wanita yang melayangkan mesej peribadi (DM) ke akaun Facebooknya dengan menuduh mereka mengabaikan Benjy ketika dalam tahanan.

Dalam muat naik status laman sosial Inessa lagi, perbuatan dilakukan aktres berkenaan sesuatu yang tidak wajar apatah lagi ketika kubur Allahyarham Benjy masih merah.

Artis berkenaan iaitu Norish Karman mengakui memang ada menghantar DM sekadar untuk bertanyakan mengenai kebajikan arwah dan baginya ia bukan suatu kesalahan.

Klik untuk gambar besar



Begitupun, Norish mengakui kesilapannya yang mengajukan pertanyaan berhubung perkara terbabit pada waktu kurang sesuai iaitu semasa pihak keluarga masih bersedih atas pemergian Benjy.

Pada masa sama, Inessa juga mengakui beberapa individu lain yang juga rakan seperjuangan Allahyarham turut mempersoalkan mengenai kebajikan Benjy sepanjang hampir empat tahun ditahan di Medan.

"Saya menyedari ramai lagi rakan artis yang berbuat perkara sama (mempersoalkan) kerana saya juga pernah aktif dalam bidang seni dan mempunyai kenalan di arena sama. Bukan kawan-kawan yang menyampaikan mengenai cakap-cakap belakang ini, tetapi menerusi komen dalam Facebook dan laman sosial lain pun saya ada dimaklumkan.

"Cuma perkara itu pun saya hanya tahu selepas saya luahkan di Facebook semalam. Nama kami satu keluarga disebut-sebut individu dari kalangan penggiat seni. Ada pengikut atau kenalan maya yang memberikan nama pelakon terbabit. Tetapi macam saya cakap, sudah-sudahlah. Hentikan perbuatan ini, biar arwah pergi dengan tenang," luahnya lagi.

Inessa menegaskan, dia juga tidak akan sesekali menutup komen bagi meredakan suanana memandangkan masih ramai orang termasuk mereka yang tidak mengenali Benjy mahu pun keluarganya tetap memberikan kata-kata positif.


"Dari dulu saya sentiasa terbuka, begitu juga dengan sebarang komen. Situasi ini tidak akan membuatkan saya menutup ruangan interaksi kerana masih ramai yang mendoakan arwah. Sokongan mereka ini memberikan semangat apatah lagi rata-rata tidak henti mendoakan kesejahteraan Benjy. Lagipun tiada apa yang perlu saya sembunyikan," tambahnya.

Ditanya mengenai penerimaan bapa mereka, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi, dedah Inessa, lebih baik dia tidak mendedahkan perasaan ayah mereka ketika ini.

"Walaupun matanya sudah agak kabur, dia masih membaca surat khabar. Dia tahu apa yang berlaku dan saya juga ada ceritakan kepadanya. Tapi biarlah saya simpan sendiri luannya itu," ujarnya.

Terdahulu, Benjy atau Khaeryll Benjamin Ibrahim yang juga anak seniwati Allahyarham Azean Irdawaty meninggal dunia akibat serangan asma di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada 11 Julai lalu

Benjy, 43, ketika itu sedang menjalani hukuman penjara 11 tahun tiga bulan oleh Mahkamah Daerah Medan, Indonesia selepas didapati bersalah memiliki dadah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: