25 July 2021

AL-FATIHAH - 'ANJANG AKI' DIJEMPUT ILAHI



Pada Jumaat lalu, industri hiburan telah kehilangan pelakon 'Prebet Lapok' iaitu Tawil, terkini dunia seni sekali lagi berduka apabila pelakon 'Anjang Aki' atau nama sebenarnya Datuk Baharuddin Omar dilaporkan meninggal dunia. Baharudin meninggal dunia pada lewat petang Sabtu selepas 12 hari menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-85 pada 12 Julai lalu.

Berita sedih itu dikongsikan isterinya, Datin Nazariah Abu Bakar, 66, yang memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di kediaman mereka di Shah Alam. Menurut Nazariah, arwah suaminya sudah lama menderita penyakit pembuluh darah bengkak.

"Arwah baru selesai makan dan dia kemudiannya masuk ke dalam bilik untuk berehat. Saya pula terus ke dapur, tidak lama selepas itu, saya meninjau keadaannya di dalam bilik dan mendapati dia mengalami sesak nafas. Tidak lama selepas itu, dia langsung tidak sedarkan diri.

"Dia pergi dengan mudah dan saya masih lagi terkejut dengan pemergiannya. Salah seorang cucu yang bertugas sebagai doktor di Klang bergegas datang ke rumah kami dan terus menjalankan ujian calitan pada suami. Dia mengesahkan suami bukan meninggal dunia disebabkan COVID-19," kata Nazariah.

Klik untuk gambar besar



Allahyarham Baharuddin meninggalkan tujuh anak kandung serta dua anak tiri. Jenazah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sungai Tua, Batu Caves pada Ahad. Allahyarham popular menerusi wataknya dalam drama bersiri 'Anjang Aki' yang dilakonkannya pada era 80-an. Antara drama lakonannya seperti 'Tanah Pusaka' yang diterbitkan pada tahun 1967, 'Perajurit Pulang' (1968) dan 'Bangsawan' (1970).

Selain itu nama Allahyarham pernah tercatat dalam Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-2 (1981) apabila lakonan hebatnya dalam filem 'Dia Ibuku' menerima pencalonan dalam Kategori Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik. Baharuddin juga pernah dilantik sebagai Presiden Seniman Malaysia yang kedua selama tiga penggal dari tahun 1978 hingga 1984, selain pernah menjadi Ahli Perbadanan FINAS dan Ahli Lembaga Penapisan Filem (LPF).





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: