25 July 2021

AWAL ASHAARI, JANNA NICK 'SIGNING OFF' - NABIILA HUDA PENGACARA BARU MELODI



Pelakon dan pengacara popular, Awal Ashaari yang merupakan hos Melodi bersama rakan gandingan, pelakon Janna Nick, mengesahkan khidmat mereka selaku hos program hiburan popular tersebut telah pun berakhir, kelmarin. Rakaman program Melodi minggu ini menjadi episod terakhir buat mereka. Memikul tanggungjawab selaku hos program Melodi sejak 2012, Awal mengakui, sedih untuk mengumumkan berita pengunduran ini.

"Ucap selamat tinggal paling sukar apabila anda tidak dapat mengungkapkannya. Dua minggu yang cukup sugul buat saya. Ikutkan hati, saya mahu mendiamkan diri, tetapi ramai sudah bertanya, jadi tidak baik membiarkan peminat dan rakan media berteka-teki. Semalam (Jumaat) adalah hari terakhir saya bersama program Melodi. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami hanya bersiaran secara virtual. Dan, petang semalam adalah rakaman terakhir saya bersama Janna dari rumah masing-masing.

"Stesen televisyen mengambil keputusan menggantikan pengacara sedia ada dengan 'In-house Talent' bernaung di bawah Media Prima Berhad (MPB) mulai Ogos depan sebagaimana kami diberitahu. Dua minggu diberikan untuk kami menghabiskan dua episod terakhir sebelum program Melodi memperkenalkan hos baharu," kata Awal yang mengumumkan berita pengunduran diri daripada program hiburan popular dan sensasi itu menerusi hantaran dalam laman Instagram (IG), petang semalam.

Awal berkata, dia percaya kepada rezeki, qada dan qadar. Awal berkata, dia melakukan pendedahan dalam IG sebelum mengatur langkah ke fasa baharu dalam kehidupan. Awal turut berterima kasih kepada pengurusan MPB kerana memberi peluang kepadanya menjadi sebahagian legasi program hiburan popular itu.

Klik untuk gambar besar



"Bukanlah niat menongkat langit. Namun, usia lapan tahun sudah cukup untuk mana-mana pengacara menjadi matang dan beroleh kepuasan dalam program kendalian mereka. Saya reda, sedikitpun tidak terasa hati. Saya berterima kasih kepada enam penerbit dan enam hos silih berganti bersama saya sepanjang lapan tahun ini. Mereka adalah Muhammad Sufian Che Isa, Azman Abdul Ghaffar, Jamil Hassan, Michelle Wee dan Noradillah Abdullah (Adeed). Terima kasih mempercayai bakat dan mencurahkan segala ilmu selama ini.

"Juga rakan gandingan seperti Datuk Dira Abu Zahar, Zizan Razak, Sherry Alhadad, Zulin Aziz, AG Azmeer dan Janna. Tidak lupa, keluarga kecil Melodi, Nik Syafiq Hadhari, Nurul Izza Safar, Suhairiyah Zahrih, Josephine Phen, Nuraisyah Maswan, Nadia Mukhsil, abang teknikal dan semua yang bertungkus lumus memastikan Melodi dapat bersiaran secara langsung setiap Ahad, selama ini.

"Buat penonton Melodi dari mula saya bersiaran hingga episod akhir, esok, terima kasih tidak terhingga diucapkan. Saya minta maaf sekiranya ada salah silap sepanjang mengendalikan Melodi. Ini adalah pencapaian terbaik sepanjang kerjaya saya. Dari kecil, saya tengok Melodi, semua idola saya pernah mengacarakan program ini. Apabila dapat mengacarakan Melodi, ia satu pengiktirafan cukup besar buat saya.



"Kepada bakal pengganti saya di Melodi, tahniah. Saya yakin awak mampu menggalas tanggungjawab ini. Melodi bukan sekadar kerjaya, tetapi tanggungjawab dan legasi yang diamanahkan kepada setiap pengacara. Saya mendoakan Melodi akan kekal utuh sebagai program hiburan nombor satu di Malaysia. Buat terakhir kalinya, tingkatkan prestasi, kurangkan kontroversi, berdiri atas bakat sendiri," tulisnya.

Segala desas desus mengenai siapa yang bakal menggantikan Awal dan Janna sebagai pengacara Melodi akhirnya terjawab apabila pelakon Nabila Huda merupakan pengacara baru program hiburan tersebut. Difahamkan, berdasarkan jemputan yang dihantar kepada pihak media memaklumkan TV3 akan mengadakan satu sidang media Isnin ini bagi mengumumkan pengacara baru Melodi, Muzik Muzik dan Nona.

Sidang media itu turut membabitkan sesi temubual bersama Nabila Huda untuk program Melodi. Selain itu, dalam sidang media berkenaan turut memperkenalkan barisan pengacara baharu untuk program Nona dan Muzik-Muzik. Difahamkan, Amyra Rosli bakal menggantikan Mira Filzah untuk program Nona, manakala penyanyi Sissy Imann dilaporkan bakal mengacarakan program Muzik- Muzik. Hari ini merupakan episod akhir dimana Awal dan Janna sebagai pengacara program hiburan popular itu.











         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: