29 July 2021

AL-FATIHAH - BAPA LAN SOLO DIJEMPUT ILAHI



Takziah kami ucapkan kepada penyanyi Lan Solo yang menerima khabar duka apabila bapanya iaitu Mohamed Yusof Isa meninggal dunia akibat kegagalan organ dalaman pada pukul 4 pagi, Khamis di Hospital Taiping.

Berkongsi mengenai berita sedih itu, isteri kepada Lan iaitu Nur Sheila Hassim memberitahu Allahyarham dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot secara tiba-tiba.

Menurut Sheila, arwah berada dalam keadaan koma selepas dimasukkan ke wad akibat masalah buah pinggang yang sudah tidak lagi berfungsi.

"Arwah meninggal dunia pada 4 pagi, tadi di Hospital Taiping akibat kegagalan organ dalaman. Arwah dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu selepas keadaan kesihatannya merosot.

Klik untuk gambar besar



"Dia memang mempunyai beberapa penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Sebelum ini, keadaan dia okay saja tapi sejak beberapa hari ini, abang ipar beritahu arwah macam lesu dan kurang selera makan.

"Apabila bawa ke hospital, keadaan dia semakin merosot dan koma. Doktor kata buah pinggangnya sudah tidak berfungsi," kata Sheila ketika dihubungi.

Sebelum ini, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof menerusi laman Instagram memaklumkan bahawa bapanya sudah menghembuskan nafas terakhir pada pagi, Khamis.



Dalam pada itu, Sheila memberitahu jenazah arwah akan dibawa ke Kuala Lumpur dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu 14, Puchong.

"Insya-Allah memandangkan semua anak-anak berada di Kuala Lumpur, jenazah akan dikebumikan di Batu 14, Puchong mungkin dalam sekitar selepas solat Asar," jelasnya.

Sementara itu, Sheila mengakui pemergian bapa mentuannya sangat mengejutkan memandangkan arwah sebelum ini dalam keadaan baik sahaja.



Kata Sheila, ibu mentuannya yang kini sedang berdepan masalah jantung terpaksa berulang alik ke hospital Shah Alam sejak beberapa bulan lalu untuk mendapatkan rawatan.

"Pemergian arwah sangat mengejutkan... sebab nak ikutkan, mak yang tengah sakit dan menerima rawatan di hospital. Mak ada masalah jantung dan perlu ulang alik ke hospital Shah Alam sejak beberapa bulan ni.

"Jadi, memang tak sangka ayah pula yang meninggal dunia. Semua orang dalam keadaan terkejut sekarang ini terutama mak. Tadi pun, Lan tak sampai hati nak beritahu mak mengenai arwah ayah.

"Lan terpaksa menipu mengenai keadaan ayah biarpun doktor sudah mengesahkan arwah sudah tiada. Tapi tadi (pagi) barulah mak tahu yang ayah sudah tiada," ujarnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: