05 July 2021

AL-FATIHAH - PENYANYI 80-AN, AZMAN IDRIS KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pada jam 2.15 pagi, hari ini, penyanyi era 1980-an, Azman Idris, 61, yang menghidap barah prostat tahap empat sejak 2017 dan penyakit buah pinggang kronik, telah disahkan meninggal dunia di rumahnya.

Berita pemergian itu disahkan oleh penyanyi Afee U-topia dan adik Allahyarham, Shah Amirudin Idris serta beberapa penggiat seni lain menerusi Facebook.

Kesihatan penyanyi lagu 'Zuraidah' ini mula merosot selepas menjalani pembedahan kecil memasang semula tiub di bahagian pinggangnya yang tertanggal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 21 Jun lalu.

Isterinya, Madinah Abu Bakar berkata, keadaan Allahyarham Azman terlalu lemah sehingga sukar bercakap dan tidak mampu menelan makanan dan minuman yang disuap.

Ia berbeza ketika dimasukkan ke HKL pada 17 Jun di mana Allahyarham suaminya masih bertenaga, mampu makan dan bercakap seperti biasa.

Kesihatannya semakin merosot sejak lima bulan lalu menyebabkan dia hanya terbaring sekaligus menyebabkan proses kimoterapi dan dialisis tidak dapat dijalankan untuk merawat kedua-dua penyakitnya itu.

Sebaliknya, doktor hanya memberi ubat penahan sakit serta ubat-ubatan lain di samping menjalani pemantauan dari rumah dengan bantuan sebuah NGO, Kasih Hospice Care.

Allahyarham Azman dikurniakan enam anak hasil perkahwinan dengan Madinah. Arwah juga turut mempunyai seorang anak daripada perkahwinan terdahulu.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Azman menghasilkan tiga album solo iaitu Zuraidah, Dilamun Rindu dan Kembali serta album Akan Ku Bahagiakan Hidupmu bersama Kumpulan Angka (Digital).

Bagaimanapun satu-satunya lagu menjulang nama Allahyarham Azman adalah 'Zuraidah' yang pernah bersaing dengan lagu Rindu Bayangan (Carefree) mengungguli rancangan carta lagu popular di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Sri Bangkong, Jalan Kuching, hari ini.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: