31 July 2021

BAPA TERPAKSA MASUK IJN - AMYLEA ANGKAT BENDERA PUTIH, RAYU DERMA KILAT



"Apa yang saya buat ini memang betul-betul kecemasan sebab bukan kami sengaja mahu hantar ayah ke hospital swasta tapi disebabkan hospital kerajaan memang sudah penuh dengan pesakit Covid-19, jadi kami terpaksa masukkan ayah ke hospital swasta.

"Ayah pula tiada insurans dan ketika pandemik macam ini saya dan adik-beradik lain tidak boleh keluar bekerja... ini sahaja jalan yang boleh kami fikirkan," demikian jelas penyanyi Amylea Azizan yang terpaksa merayu sumbangan derma kilat bagi membiayai kos rawatan bapanya, Azizan Zainal Abidin, 62, yang menghidap penyakit jantung.

Terdahulu, Amylea memuat naik status memohon sumbangan derma kilat untuk membayar deposit rawatan bapanya di Institut Jantung Negara (IJN) selepas semua hospital kerajaan dikatakan terpaksa menolak pesakit lain susulan peningkatan kes Covid-19.

Menurut Amylea, 35, walaupun dia berasa segan melakukan perkara itu namun ia perlu dilakukan demi melihat bapanya kembali sembuh seperti sedia kala. Kata Amylea bersyukur apabila menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak yang prihatin dan segera menghulurkan bantuan.

"Alhamdulillah ayah saya kini berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke IJN petang semalam (Jumaat). Memang masa itu saya dan keluarga dah buntu sebab Hospital Ampang dan Hospital Serdang memang tidak terima pesakit selain daripada kes Covid-19.

Klik untuk gambar besar



"Sebelum ini ayah dapatkan rawatan di hospital kerajaan tapi mereka terpaksa menolak dan mereka cadangkan untuk kami masukkan ayah ke hospital swasta. Adik ipar saya yang mula-mula blast tentang sumbangan derma kilat menerusi WhatsApp kumpulan kejiranan kami dan daripada situ kami dapat kumpul RM3,000 untuk bayar deposit kepada IJN.

"Lepas saya letak tentang sumbangan di Instastory saya, memang banyak DM masuk daripada peminat dan rakan-rakan artis yang turut sama menyumbang. Saya memang tak tahu nak cakap macam mana, terima kasih banyak-banyak... memang sangat-sangat terharu di atas sumbangan mereka. Saya harap Allah akan lipat gandakan lagi rezeki mereka semua yang telah membantu ayah saya," ujarnya.

Penyanyi lagu 'Takdir' ini berkata ayahnya kini hanya menunggu masa untuk melakukan prosedur Angiogram bagi memeriksa keadaan jantungnya yang dijadualkan pada September ini di Hospital Serdang.

"Kalau ikutkan kami memang lagi prefer hospital kerajaan sebab memang rekod kesihatan ayah dengan Hospital Ampang dan Hospital Serdang. Sepatutnya ayah dah buat prosedur ini pada Mac tahun lalu namun terpaksa ditangguhkan sebab pandemik Covid-19 pada masa itu.

"Sekarang ayah terpaksa dimasukkan ke hospital untuk stabilkan diri dia selepas dia ada komplikasi jangkitan kuman di paru-paru dan Alhamdulillah keadaan dia semakin okay. Walaupun tidak dibenarkan melawat namun kami tetap berkomunikasi dengan ayah menggunakan panggilan video, kalau dia tak larat dia akan minta bantuan nurse untuk tolong telefonkan kami," katanya lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: