31 July 2021

NEGATIF COVID-19 - BAD DAH MOHON STATUS OKU, BAKAL CACAT KEKAL



"Saya tengah tunggu slot untuk 'amputate' ibu jari kaki, jadi kaki kiri saya memang akan kudung. Kemudian lagi sekurang-kurangnya enam bulan untuk rawatan 'dressing' pada bahagian dipotong itu.

"Lepas potong empat jari kaki sebelum ini, saya didatangi pekerja sosial dan bertanya sama ada mahu daftar sebagai OKU atau tidak kerana saya cacat kekal dan layak. Saya sudah mendaftar dengan JKM tapi belum dapat jawapan lagi. Ia juga akan dapat meringankan beban kos rawatan saya kerana tiada kerja buat masa ini.

"Doktor juga tolong isi borang OKU itu mengesahkan kecacatan kekal dan bantuan fizikal yang diperlukan," itulah kata penyanyi Bad Indigo, 46, apabila berdepan dugaan berat sekali lagi apabila ibu jari kakinya bakal dibuang selain terpaksa memohon status Orang Kelainan Upaya (OKU) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah berkata, kaki kirinya akan kudung sepenuhnya selepas ibu jari itu dibuang menyebabkan dia bakal cacat kekal.

Klik untuk gambar besar



Bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu memaklumkan, disebabkan proses rawatan berterusan, pergerakannya semakin terbatas selepas ketiadaan jari kaki. Ia sekali gus memberi kesan kepada pendapatannya sejak lebih setahun lalu.

"Saya sudah setahun setengah tak kerja sebab tak ada tawaran dan tak boleh anjurkan acara. Selama ini, saya memang bergantung dengan pendapatan menjadi pengurus acara dan sekarang pun tiada sebarang aktivti acara dibenarkan," ujarnya.

Dalam pada itu, Bad bersyukur apabila keputusan untuk ujian Covid-19 negatif selepas isterinya juga penyanyi Ashira Aziz disahkan positif, kelmarin. Menurut Bad, dia kini memantau sepenuhnya keadaan Ashira di rumah.



"Alhamdulillah, saya negatif dan Ashira pula kena kuarantin dalam bilik. Agak sukar jugalah kerana dalam pada tahan kesakitan kaki, pergerakan saya juga terbatas," tuturnya.

Pada Mac lalu, Bad selamat menjalani pembedahan memotong jari kakinya yang luka akibat penyakit diabetes di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Dia terpaksa menjalani pembedahan itu disebabkan jangkitan gangren.

Sementara itu, isteri Bad, penyanyi Ashira Aziz hanya mampu berdoa agar suaminya itu diberikan kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan kesihatan. Ia susulan Bad memaklumkan perlu membuang ibu jari kaki kirinya selepas empat jari kaki sama dibuang sebelum ini akibat penyakit diabetis yang dihidapi.



"Saya pun dah tak tahu apa yang saya rasa sekarang. Saya hanya mampu berdoa semoga dia terus diberikan kesembuhan," kata Ashira yang juga bekas peserta Gegar Vaganza musim yang sama dengan suaminya iaitu musim ke-7.

Dalam pada itu, Ashira yang kini menjalani kuarantin di rumah selepas disahkan positif Covid-19 meluahkan rasa syukur apabila anak dan anak saudaranya yang tinggal serumah dengannya disahkan negatif selepas menjalani ujian calitan.

"Alhamdulillah, kedua-dua mereka negatif. Jadi, sekarang mereka kuarantin macam biasa di dalam rumah, cumanya tak boleh berjumpa dengan saya. Dalam masa 10 hingga 14 hari lagi, mereka akan menjalani ujian calitan kedua," jelasnya.

Semalam menerusi laporan media, Ashira telah berkongsi mengenai dirinya yang disahkan positif Covid-19 selepas menjalani ujian calitan kerana mengalami masalah pernafasan. Ashira juga turut berkongsi perkara tersebut menerusi laman Instagram miliknya baru-baru ini.









         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: