17 July 2021

FENDY CALIPH BUSKERS DIHADIAHKAN SET DRAM ELEKTRIK



Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, baru-baru ini telah menerima set dram elektrik daripada Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Pemain dram yang juga orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan ini amat berbesar hati serta berterima kasih terhadap keprihatinan yang ditunjukkan Wan Ahmad Fayhsal.

""Tak sangka cepat sangat. Tak sampai beberapa hari dah dapat. Beliau datang mengejut dan tak maklumkan apa-apa. Perasaan gembira sukar digambarkan kerana amat bermanfaat buat saya.

"Sebenarnya skil dram kena berlatih juga. Bila sudah ada set dram elektrik begini sekurang-kurangnya dapat berlatih dan tak mengganggu orang lain.

"Permukaan dram yang dibuat dari getah tak hasilkan bunyi yang kuat. Biasanya bunyi dikeluarkan menerusi pembesar suara tapi saya lebih selesa gunakan 'headphone'," katanya.

Fendy berkata, buat permulaan dia perlu berlatih untuk memahirkan diri dengan dram elektrik kerana ada perbezaan dengan dram biasa.

"Dulu saya 'busking' dram secara langsung di Jalan Bukit Bintang. Apabila Covid-19 menular, saya 'busking' menyanyi sambil main gitar dari rumah menerusi Facebook Fendy Caliph Buskers.

"Apabila mahir dengan dram ini, saya akan buat 'masterclass'. Saya alu-alukan Kementerian Belia dan Sukan bantu saya sediakan myGIG kerana platform mereka lebih luas," ujarnya.

Jelas Fendy, pendapatannya terjejas teruk sejak akhir-akhir ini dan sepanjang 10 tahun menetap di Kuala Lumpur, inilah situasi paling teruk pernah dialaminya.

Sementara itu, Fayhsal dalam kenyataannya memaklumkan, Fendy akan mengadakan 'busking-online' setiap malam Sabtu di Facebook dan juga 'masterclass' dram secara dalam talian.

Selain Fayhsal, sebelum ini Fendy turut dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun; dan wakil Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa yang hadir ke rumahnya pada 10 Julai lalu bagi memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang pernah dimohon sebelum ini dapat diuruskan dalam kadar segera.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: