17 July 2021

DALAM KEADAAN SIHAT, CUKUP MAKAN - SATHIA BERGANTUNG WANG KWSP



Sudah sekian lama kita tidak mendengar khabar daripada Sathia. Pelakon dan pelawak popular berusia 57 tahun itu ketika ditanya mengenai perkembangan terkini itu mengakui dirinya berada dalam keadaan baik, sihat dan cukup makan, walaupun sudah tiga bulan tidak mempunyai sebarang pendapatan.

Sathia yang dihubungi turut memaklumkan sudah tiga bulan tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang simpanan yang dikeluarkan daripada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Saya okay saja. Semuanya cukup kerana kehidupan saya pun ringkas saja. Rumah dan segala aset lain sudah habis dibayar, cuma kena bayar bil tertentu saja.

"Tidak mengapalah terpaksa duduk rumah sekarang. Saya cuma mahu patuh arahan kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga. Jadi, lebih baik diam dan akur saja buat masa sekarang," katanya.

Sathia yang popular dengan watak Ravi dalam sitkom 'Pi Mai Pi Mai Tang Tu' itu bagaimanapun mengakui rindu kembali bekerja dan berharap dapat kembali menjana pendapatan dalam masa terdekat.

"Kalau ikutkan, banyak drama lakonan saya yang tergendala selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan. Jadi, ia terpaksa dibekukan seketika dan gaji pun tak dapatlah.

"Memang rindu nak kembali bekerja tapi melihat keadaan sekarang, kita semua tak pasti bila dapat keluar semula. Tidak mengapalah, asalkan ini semua untuk tujuan keselamatan semua," ujarnya.

Sathia juga bersyukur pada usia sekarang dia masih mampu bekerja dan berharap akan terus diberikan kesihatan yang baik demi teruskan kerjaya sebagai pelakon.

"Saya sebenarnya sedih apabila melihat ada rakan-rakan seperjuangan seusia saya berdepan masalah kesihatan dan meninggal dunia. Saya harap saya tetap akan kuat selagi masih boleh bekerja," jelasnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: