17 July 2021

"JANGAN BAYANGKAN SAYA MASIH PAKAI BAJU KOTAK-KOTAK & KOPIAH" - IDZU SAUJANA



Masihkah anda ingat lagi tentang kumpulan nasyid Saujana yang terkenal dengan lagu 'Sepohon Kayu'. Salah satu anggota kumpulan terbabit iaitu Dr Idzu Baharin kini dilihat tampil berbeza yang mungkin dilihat asing bagi sesetengah orang.

Namun rasa ingin tahu pengguna aplikasi TikTok akhirnya membawa kepada jawapan bahawa Idzu atau Khairul Idzwan Baharin adalah individu sama yang cukup popular sejak awal kemunculannya menerusi kumpulan Saujana pada 1997.

"Jangan bayangkan saya masih pakai baju kotak-kotak dan kopiah. Semestinya orang hanya ingat Saujana dan saya sendiri pada zaman kami remaja, tapi itu 24 tahun yang lalu. Jadi tak hairan ada yang tertanya-tanya dan cuba flashback dengan mengatakan macam pernah tengok... tapi dah lain sikit.

"Jawapan saya mudah, mesti la dah lain dik... dulu anda kenal saya pada umur 16 tahun. Tentulah sekarang ada beza daripada segi fizikal, cara bercakap dan sebagainya," katanya.

Nama Idzu, 40, kembali menjadi sebutan apabila dia menjawab pertanyaan daripada salah seorang netizen di TikTok tentang keanggotaannya dalam kumpulan Saujana yang popular menerusi lagu 'Sepohon Kayu'.

Klik untuk gambar besar



Pertanyaan itu muncul berikutan penampilannya kini cukup berbeza jika dibandingkan sewaktu di awal kemunculan Saujana bersama Azalinor, Suffian, Hakimi, dan Faizul.

Bukan itu sahaja, penampilan Idzu yang dikatakan berubah ke arah yang lebih 'feminin' itu turut menjadi faktor mengapa wujud persoalan sedemikian.

"Mereka seolah-olah bayangkan saya masih pakai baju bercorak kotak-kotak besar dan berkopiah. Dik... dah 24 tahun takkan masih imej macam tu? Tapi tak mengapa kerana saya anggap mereka berada pada fasa untuk relate atau cuba mula mengenali saya," ujarnya yang kini meneruskan kerjaya dalam bidang kajian perubatan.

Ditanya tentang kehidupan peribadi, Idzu berkata dia masih belum berumah tangga seperti semua anggota asal Saujana yang lain. Menyentuh tentang kerjaya, Idzu berkata dia menyedari masih ramai peminatnya dahulu yang tidak mengetahui tentang laluan yang diceburinya sejak 15 tahun lalu.

"Semua ahli asal Saujana sudah berkahwin tapi saya sahaja yang belum... saya masih lagi teruna. Saya terlalu sibuk dengan kerjaya, jadi soal jodoh saya serahkan kepada Allah, InsyaAllah saya masih mencari.


"Ada juga yang ingat saya ni ustaz sebab menyanyi nasyid, itu feedback mencuit hati yang sering saya dapat. Sebenarnya dulu saya melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan bermula tahun 2000. Kemudian saya memulakan kerjaya sebagai doktor di sebuah hospital kerajaan.

"Kemudian saya kembangkan kerjaya dalam skop kajian perubatan dan pembuatan khususnya dalam kejuruteraan tisu manusia untuk kegunaan kesihatan dan kecantikan," jelasnya.

Berhubung keanggotaanya bersama Saujana, Idzu berkata dia tidak pernah mengumumkan meninggalkan kumpulan nasyid itu walaupun kini membawa laluan berbeza.

"Saya masih anggota Saujana dan tak pernah tinggalkan mereka. Namun saya tak aktif, saya akan muncul apabila ada projek khas sahaja," tuturnya.

Selain 'Sepohon Kayu', Saujana juga terkenal dengan lagu 'Keluarga Bahagia', 'Senyuman', 'Suci Sekeping Hati' dan banyak lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: