14 July 2021

"KEWANGAN SAYA MASIH LAGI TERKAWAL, TAPI TAK TAHULAH SAMPAI BILA..." - ACHEY



"Mak tahu mengenai penyakitnya itu dan kami adik-beradik tidak merahsiakan pun. Pada kami, mak berhak tahu apa penyakit yang dihidapinya dan Alhamdulillah, keadaan kesihatan mak sekarang stabil. Kakak dan adik-beradik saya yang lain menjaga mak dengan baik. Setiap hari di rumah, kakak akan ambil catatat bacaan gula, darah dan suntikan insulin untuk mak. Tapi, berat badan mak susut dan dia agak kurus.

"Apapun, keadaan kewangan yang saya ada masih lagi terkawal. Cuma, tak tahulah sampai bila akan dapat bertahan. Jadi, saya buat jualan motosikal untuk mendapatkan pendapatan sampingan tambahan, sebelum keadaan menjadi tenat," kata pelawak dan penyanyi, Achey Bocey, 35, yang mengakui sudah pun menjual lima motosikal dan satu basikal kesayangannya sebagai alternatif untuk mengumpul sumber kewangan tambahan.

Ia juga susulan dugaan menimpa Achey apabila ibunya, Ngaisah Hassan, 70, disahkan mengalami masalah kesihatan dan memerlukan rawatan lanjut. Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah ketika dihubungi berkata, dia tidak pernah bergurau ketika meluahkan hasrat hendak menjual motosikal dan apa saja barangan kesayangannya yang ada.

Ditanya mengenai keputusan pemeriksaan kesihatan ibunya, Achey berkata dia bersyukur kerana tidak membabitkan penyakit kanser. Dalam pada itu, berhubung motosikal, Achey memberitahu, kebanyakan pembeli berminat akan mengirim mesej (DM) kepadanya di Instagram.

Klik untuk gambar besar



"Bagaimanapun, syukur Alhamdulillah kerana setakat ini saya sebenarnya sudah berjaya menjual lima motosikal, sebuah basikal dan juga helmet. Insya-Allah, pada minggu hadapan saya akan jual motor lagi terutama jenis motorsikal lasak yang banyak saya buat sewa di Segamat ini. Saya akan jual satu persatu untuk menampung perbelanjaan rawatan emak dan juga keperluan keluarga saya sendiri.

"Bagi sesiapa yang berminat nak beli motosikal itu, saya akan kirim gambar pada mereka dulu. Malah, saya juga akan kemaskini dari masa ke semasa apabila nak jual sebab itu maksudnya saya berada dalam keadaan memerlukan. Ditambah pula, ada juga kawan-kawan yang berminat nak beli termasuk sukarela membantu. Jadi, saya anggap ia rezeki. Tapi, segala sumbangan untuk rawatan emak memang saya serahkan semua kepadanya," jelasnya.

Pada 14 Jun lalu, Achey berkongsi berita sedih mengenai keadaan kesihatan ibunya yang sakit dan dimasukkan ke Hospital Pakar Putra Batu Pahat, sebelum kemudiannya dirujuk ke sebuah pusat perubatan di Johor Bahru untuk pemeriksaan lanjut.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: