24 July 2021

LALUI SUSAH SENANG BERSAMA - NANA TETAP SAYANG PERSAHABATAN DENGAN SYURA & LAN



Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana, 37, berasa kesal dengan tindakan rakan-rakan yang bercakap perkara tidak baik mengenai dirinya. Meskipun begitu, Siti Nordiana atau lebih mesra disapa Nana berkata, dia masih menghargai dan menyayangi persahabatan yang dibina hampir 20 tahun dengan Syura Badron dan Lan Solo.

Namun, menurut penyanyi lagu 'Memori Berkasih' bersama Achik Spin, hatinya cuma terluka apabila rakan-rakannya itu sanggup membawa perkara itu secara terbuka di media sosial.

"Sudah tentu saya sayang sebab mereka juga kawan-kawan yang baik dengan saya, malah kami pernah lalui susah senang bersama. Cuma saya agak terkilan dengan perkara ini sahaja... kenapa harus (dibawa) ke media sosial?

"Kalau ada benda mereka tidak puas hati dengan saya, mereka boleh berhubung dengan saya secara profesional, boleh call atau video call... saya rasa ralat kenapa perlu di media sosial," kata Siti Nordiana dalam sesi sidang media secara virtual yang berlangsung pada Jumaat.

Dalam sidang media yang sama, Siti Nordiana turut menuntut Syura, Lan dan isteri, Sheila Hashim serta dua individu lain iaitu jurusolek Aida G dan Pengurus Perhubungan Awam (PR) FMC Music, Sam Samin tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam.

Klik untuk gambar besar



Peguam mewakili Siti Nordiana, Abang Azlan Abang Ariffin dari Abang Azlan & Associates berkata notis tuntutan itu akan dihantar kepada kelima-lima individu terbabit pada hari Isnin ini (26 Julai).

Menceritakan lebih lanjut, Siti Nordiana berkata dia menyedari rakan-rakannya itu sudah tidak lagi mengikuti (unfollow) akaun Instagramnya namun menyangkakan perkara itu sebagai tidak sengaja.

"Saya perasan mereka unfollow IG saya tapi saya anggap benda itu perkara biasa mungkin anak mereka tertekan ke atau tak sengaja ter-unfollow... itukan normal jadi macam itu.

"Waktu itu pula saya kebetulan tengah busy dengan kerja, jadi saya tak berapa beri tumpuan pada perkara tersebut sebab ada benda penting lagi saya nak buat ketika itu.


"Apa-apa pun kalau boleh kita bawa berbincang jika ada ketidakpuashatian, jangan share kepada public perkara yang tidak sepatutnya untuk dikongsikan," ujarnya lagi.

Menerusi Instagram live yang berlangsung pada malam Selasa lalu, Lan dan Syura membuat pendedahan mengejutkan berkaitan konflik yang berlaku di antara mereka dengan Siti Nordiana.

Dalam sesi tersebut, isteri Lan, Sheila berkata dia terkilan dengan Siti Nordiana kerana suaminya dikatakan menumpang populariti penyanyi tersebut sehingga sesetengah pihak produksi enggan memberikan tawaran kerja kepada mereka.

Sementara itu, Syura pula mendakwa ada pihak produksi enggan memberikan tawaran kerja kepadanya angkara bawaan mulut rakan baiknya iaitu Siti Nordiana.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: