Pelakon Keith Foo sering dilihat bersama dan mesra dengan bekas isterinya yang juga model, Kim Raymond, meskipun sudah bercerai. Dek kerana itu, pelakon itu dikatakan sudah kembali bersama bekas isterinya.
Bagaimanapun, ia telah dinafikan oleh Keith. Keith berkata, walaupun hubungan mereka baik, namun mereka tiada perancangan untuk bersatu semula sebagai pasangan suami isteri.
"Tidak dinafikan memang ramai yang ingat kami sudah kembali bersama sebab hubungan kami berjalan dengan baik dan tiada apa-apa masalah. Cuma buat masa ini kami memang tiada perancangan ke arah itu sebab sudah selesa dengan kehidupan begini.
Klik untuk gambar besar
"Lagipun kami sedar mungkin jodoh sudah tertulis untuk tidak bersama, sebaliknya jodoh kami lebih kuat sebagai kawan karib. Saya sangat bersyukur sebab hubungan kami memang tiada apa-apa masalah selepas membawa haluan masing-masing. Kami boleh pergi bercuti sama-sama dan meluangkan masa bersama anak," katanya.
Menurut Keith, walaupun dia dan bekas isteri sudah tidak tinggal sebumbung namun mereka kerap bertemu dan saling bergantung antara satu sama lain demi anak tercinta, Skylar Raymond Foo.
"Rumah kami memang sangat dekat dan mudah untuk saya berjumpa anak setiap masa. Kalau ada masa terluang seperti tiada penggambaran, hampir setiap hari saya ke rumah Kim untuk berjumpa anak.
"Sejujurnya perasaan kekok memang tidak ada. Mungkin sebab kami sudah berkawan lama, jadi kami tak boleh pentingkan diri sendiri. Kami perlu ketepikan apa saja masalah yang berlaku sebelum ini sebab kami berdua yang bersepakat untuk mahukan anak jadi perlu bersama untuk membesarkan Skylar dengan penuh kasih sayang," ujarnya.
Dalam pada itu, Keith kini aktif menyertai kerja-kerja sukarelawan kelolaan St John Ambulance Malaysia Cawangan Negeri Sembilan dengan melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Untuk makluman, Keith mendirikan rumah tangga dengan Kim pada November 2015 dan mereka dikurniakan anak pada 30 Mei 2017. Bagaimanapun hubungan mereka tidak bertahan lama apabila pasangan itu sah bercerai pada Disember 2019.
________________________
No comments:
Post a Comment