22 July 2021

NAJDI UNIC MENYESAL, BAYINYA USIA DUA MINGGU JATUH DARI MEJA



"Lepas tukarkan baju baby, saya biar atas meja... sepatutnya letak atas katil dulu. Isteri mandi waktu tu. Saya naik atas sekejap untuk tukar baju. Sekejap je dalam seminit atau dua minit... ketika nak sarung baju tiba-tiba dengar baby menangis, rupa-rupanya dah jatuh.

"Saya orang terakhir yang pegang, kesilapan datang daripada saya. Lepas kejadian saya dan isteri hanya mampu berdoa dan menangis... masing-masing salahkan diri," kata bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Wan Najdi Wan Mohd Noh yang berkongsi cerita dimana akibat sikap alpa, dia dan isteri berdepan detik cemas apabila bayi mereka berusia dua minggu jatuh dari ketinggian satu meter.

Hanya mampu menyalahkan diri sendiri, Najdi, 30, berkata dalam masa hanya kira-kira dua minit, anak keempatnya iaitu Wan Mishary yang ditinggalkan di atas meja makan di tingkat bawah bersendirian jatuh ke lantai. Susulan kejadian, Najdi segera membawa bayinya itu ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan.

"Malam selasa doktor pakar buat ultrasound untuk periksa kalau ada pendarahan dalam kepala, Alhamdulillah tiada... tapi kena monitor 24 jam. Setakat sekarang ni okey, tapi apabila baby bangun tidur dia akan terkejut sikit. Ada kesan bengkak di kepala bahagian kiri," jelasnya sambil memaklumkan anaknya itu sudah dibenarkan pulang ke rumah.

Klik untuk gambar besar



Tambah Najdi, insiden pada pagi sebelum solat sunat Hari Raya Aidiladha Selasa lalu itu cukup menginsafkan bagi dia dan isteri, Dr Norazreen Rahim. Menceritakan punca kejadian malang itu, Najdi berkata ia berlaku selepas anak keduanya menarik kain lampin yang digunakan untuk membalut bayi.

"Saya bukan nak salahkan sesiapa, cuma saya kesal benda ni jadi. Rupa-rupanya anak saya nombor yang nombor dua tu tarik napkin dia... napkin dia tu saya guna balut baby. Anak saya ni ada autisme sikit dan memang tak boleh nak salahkan dia, jadi salah diri sendiri," ujarnya.

Susulan kejadian Najdi berkata dia dan isteri tidak lagi menggunakan meja makan sebagai tempat untuk menguruskan bayi: "Isteri saya gunakan meja makan untuk jadikan tempat tukar lampin dan baju, lepas tukar baju baru letak di katil. Sebelum ni saya pun pernah tegur jangan tukar baju baby atas meja, takut tertinggal," tuturnya.

Untuk makluman, Najdi dan Norazreen mendirikan rumah tangga pada 2016. Hasil perkongsian hidup selama lima tahun itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Wan Nur Maisarah, 5, Wan Mustapha, 3, Wan Medina, 2, dan yang terbaharu Wan Mishary, 2 minggu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: