08 July 2021

POSITIF COVID-19 - PEMAIN GITAR FLOOR 88, AMIR TAK PASTI PUNCA DIJANGKITI



"Sebenarnya saya sendiri tak pasti mana punca saya dijangkiti. Sebab saya hanya keluar rumah untuk beli makanan atau barangan keperluan sahaja. Itu pun saya keluar hanya di kawasan perumahan saya sahaja. Saya tak ada bertemu orang ramai atau melepak dengan orang ke.

"Jadi, saya pun tak tahu macam mana saya boleh dijangkiti virus ini," ujar pemain gitar kumpulan Floor 88 iaitu Amir yang memberitahu dia mengalami demam panas dan sakit kepala yang teruk sejak Jumaat lalu, sebelum disahkan positif Covid-19.

Menurut Amir, dia tidak dapat mengenali pasti punca jangkitan tersebut memandangkan dirinya hanya keluar rumah untuk membeli makanan dan barangan keperluan sahaja.

Pemilik nama sebenarnya Amirul Affeq, 30, berkata kesihatan yang semakin merosot membuatkan dia mengambil keputusan untuk melakukan ujian calitan pada Isnin.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Amir meluahkan rasa syukur isteri serta ibunya yang menetap bersama tidak dijangkiti virus tersebut dan kini menjalani kuarantin berasingan di rumah berdekatan.

"Saya bermula dengan demam pada Jumaat lalu... pagi itu, saya bangun badan jadi sekejap sejuk, sekejap panas. Ingatkan hanya simptom demam denggi dan saya pun macam rasa okay.

"Lama-kelamaan keadaan semakin teruk dan pada Ahad, kepala pun dah mula rasa sakit sangat. Saya ambil keputusan untuk buat ujian calitan pada Isnin dan esoknya keputusan disahkan positif.



"Sekarang saya masih kuarantin di rumah, kalau keadaan teruk, mungkin akan kuarantin di Maeps. Buat masa ini, deria rasa dan bau dah hilang. Alhamdulillah, isteri dan ibu negatif. Sementara ni mereka tinggal di rumah sewa kawan ibu, " katanya.

Sebelum ini, Amir berkongsi mengenai dirinya dijangkiti Covid-19 menerusi laman Instagram pada Khamis dan rata-rata netizen mendoakan keadaannya.

Untuk makluman, selain Amir, Floor 88 turut dianggotai oleh Ayie Elham selaku vokalis, Achoi (pemain gitar utama), Falique (pemain bass), Eric Fuzi (pemain keyboard) dan Akram (pemain dram).




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: