"Kita sedar di musim PKP ni dan memang tak boleh buat show, jadi takkan saya nak minta sedekah dan sumbangan? Apa yang saya lakukan hari ni iaitu mempertaruhkan nama dan bakat saya untuk buat show secara online, at least boleh menghiburkan orang di rumah.
"Terpulang kepada mereka untuk beri sumbangan, saya tak tetapkan jumlah yang mereka nak bagi," ujar bekas penyanyi kumpulan EYE iaitu Izam yang terpaksa melakukan persembahan secara virtual di media sosial sebagai inisiatif mencari pendapatan, selepas berdepan situasi sukar.
Menurut Izam atau nama sebenarnya Mohd Izam Arshad, 53, dia menggunakan bakatnya sebagai penyanyi untuk menghiburkan orang lain yang kini 'berkurung' akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Terdahulu, video nyanyian akustik Izam diiringi petikan gitar anak lelakinya Mohd Ali Haikal mendapat perhatian netizen dan dikongsi lebih 400 kali di media sosial Facebook pada Rabu.
Klik untuk gambar besar
Bagaimanapun, Izam yang sebelum ini diserang angin ahmar itu memberitahu, kesukaran hidup yang dilalui belum sampai ke tahap terpaksa mengibarkan bendera putih.
"Alhamdulillah, setakat ni masih okey lagi... tak sampai nak kibar bendera putih. Syukur apa yang saya buat sekarang ini dapat sokongan dan perhatian orang ramai dan saya kena usaha sikit la.
"Penyakit angin ahmar belum sembuh sepenuhnya, saya masih mendapatkan rawatan. Doktor pesan kena jaga pemakanan supaya tak bertambah teruk," ujarnya.
Pada 25 Jun 2020, Izam diserang angin ahmar dan dirawat di Hospital Serdang. Izam mempunyai dua orang isteri iaitu Hayatie Rahmat dan Rosmawati serta dikurniakan tujuh orang anak.
________________________
No comments:
Post a Comment