23 August 2021

AL-FATIHAH - AYAH ELEENA HARRIS DIJEMPUT ILAHI



Pada jam 8.40 pagi, hari ini, penyanyi lagu 'Terlalu Rindu', Eleena Harris telah kehilangan bapa tersayangnya iaitu Wan Harris Wan Mahmood, 66, yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL), akibat komplikasi penyakit dan bukan berpunca daripada COVID-19.

Eleena ketika dihubungi berkata, ia adalah pemergian yang tidak dijangka dan kehilangan besar buat keluarganya. Lebih menyedihkan, dia dan keluarga tidak berkesempatan menghubungi Allahyarham disebabkan beberapa kekangan.

"Pemergiannya memang mengejutkan kami dan memang tak disangka sebab ayah tak ada sebarang penyakit kronik. Namun, sejak seminggu lalu dia dimasukkan ke hospital kerana diserang angin ahmar ringan untuk menjalani rawatan dan fisioterapi. Kemudian keadaannya stabil.

"Ketika ayah dimasukkan ke hospital, dia perlu menjalani empat kali ujian calitan Covid-19. Alhamdulillah, dia negatif dan sejak seminggu lalu, masih lagi berada di wad transit. Dia belum sempat dipindahkan ke wad sebenar untuk rawatan.

Klik untuk gambar besar



"Jadi, di wad transit itu peraturannya agak ketat berikutan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19. Jadi, dalam seminggu ini, kami memang tak dapat berbual dengan ayah melalui panggilan telefon, video dan sebagainya," katanya.

Eleena berkata, doktor menjelaskan jantung arwah henti berdenyut pada jam 4 pagi tadi: "Ayah diserang angin ahmar sebelah badan pada 17 Ogos lalu dan dimasukkan ke HKL. Apabila stabil semula, ayah tidak sedarkan diri. Selepas itu, saya dimaklumkan, jantung ayah berhenti lagi sebanyak dua kali. Pagi tadi, saya dimaklumkan ayah sudah tiada," jelasnya.

Eleena yang berkahwin dengan Muhammad Abbas Shafiq, Oktober tahun lalu, mengesyaki arwah pernah diserang angin ahmar sebelum ini: "Namun, kemungkinan angin ahmar tu pada tahap ringan dan tidak disedari. Saya dan keluarga reda dengan pemergiannya," tuturnya.



Menerusi laman Instagram, Eleena turut berkongsi berita pemergian bapanya dan memohon pengikutnya di platform media sosial itu sedekahkan bacaan surah Al-Fatihah.

"Inna lillahi wa inna ilayhi raji'un. Ayah saya telah kembali ke rahmatullah. Tolong sedekahkan Al fatihah kepada arwah ayah saya, Wan Harris Bin Wan Mahmood," tulisnya.

Jenazah ayah Eleena dikebumikan pada jam 3.15 petang tadi di Tanah Perkuburan Kota Damansara selepas disolatkan di Masjid Al Mukarramah, Bandar Sri Damansara. Allahyarham Wan Harris meninggalkan seorang balu, tiga anak dan tiga cucu.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: