25 August 2021

AL-FATIHAH - PENYANYI 'AYAM DEN LEPEH' KEMBALI KE RAHMATULLAH



Pada jam 3.48 pagi, hari ini, penyanyi legenda Minang, Elly Kasim Ali Umar, 77, telah menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit radang usus di RS Metropolitan Medical Centre, Kuningan, Jakarta Selatan, Indonesia.

Berita pemergian penyanyi yang dikenali menerusi lagu 'Ayam Den Lapeh' itu disahkan oleh anak saudaranya, Arfi Bambani kepada portal Suara.com. Bagaimanapun, Arfi menafikan pemergian penyanyi legenda lagu Minang akibat COVID-19.

"Arwah sudah dirawat di rumah sakit. Memang arwah mempunyai sakit kronik, bukannya COVID-19. Penyakit radang usus semakin kronik hingga sampai merebak ke bahagian organ lain," jelas Arfi.

Bagi Arfi, arwah Elly menjadi kebanggaan bukan hanya keluarga, tetapi daerah asalnya: "Arwah kerap membawakan lagu-lagu Minang. Sebut sahaja lagu popular seperti Ayam Den Lapeh, Mudiak Arau, Badindin dan banyak lagi.

"Arwah dan ibu saya adik beradik berasal dari Tiku, Sumatera Barat. Arwah menjadi kebanggaan orang kampung. Setiap kali ada majlis pernikahan, lagu dendangan pasti berkumandang di pesta kampung," ujarnya.

Memetik portal Kompas, berita pemergian penyanyi veteran itu disahkan organisasi perantau Minang dipanggil Minang Diaspora Network Global (MDNG).

"Atas nama Keluarga Besar Minang Diaspora Network Global, turut berduka atas pemergian Allahyarham Elly Kassim ke rahmatullah. Arwah seorang lagenda dan menjadi kebanggaan masyarakat minang sedunia.

Klik untuk gambar besar



"Semoga diampuni dosa, diterima amal ibadah, diberi tempat yang mulia di sisi-Nya. Semoga keluarga diberi kesabaran, ketabahan dan keikhlasan berdepan berita ini," kata kenyataan MDNG.

Jenazah Allahyarham Elly ditempatkan di rumah mayat di kawasan Kayu Putih, Pulo Gadung, Jakarta Timur, dan disemadikan di Al Azhar Memorial Garden, Karawang.

Selain teman artis, berita pemergian arwah turut dikongsi ahli politik, Fadli Zon menerusi ciapan menerusi laman Twitter. Fadli turut berkongsi gambar kenangan bersama arwah yang dirakamkan pada November 2019.

"Turut berduka cita sedalam-dalamnya atas wafat penyanyi legenda Minang, Elly Kasim. Semoga diberi tempat terbaik di sisi Allah SWT," tulis Fadli.

Rakan selebriti tanah air seperti Nikita Willy dan Rizky Billar turut memberikan ucapan takziah terhadap Allahyarhamah menerusi laman sosial.

Allahyaham Elly memulakan kerjaya sejak 1960 dengan membawakan lagu-lagu daerah kelahirannya. Sepanjang bergelar penyanyi, arwah Elly pernah menghasilkan hampir 100 album. Suaminya yang juga seorang seniman berdarah Minang, Nasif Bazir meninggal dunia pada 2020.

Selain aktif sebagai penyanyi, arwah Elly juga bergelar perancang perkahwinan khusus adat dan budaya Minang di bawah syarikatnya, Elly Kasim Collection.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: