"Rasa segan dan tidak layak untuk bercerita mengenai perkara ini. Saya masih belajar dan sedang berusaha untuk memahami perkara berkaitan agama. Semua yang berlaku ini sudah disusun cantik Allah. Perubahan ini berlaku secara tiba-tiba selepas saya melihat hantaran yang dimuat naik Faizal Ismail (FBI) ketika dia menyertai aktiviti membabitkan jemaah tabligh dari Dakwah Tabligh Malaysia.
"Daripada situ, timbul minat untuk menyertai aktiviti tabligh. Saya terus hubungi pertubuhan itu untuk bertanyakan lebih lanjut mengenai aktiviti dianjurkan. Walaupun berlaku insiden yang hampir mematahkan semangat, namun, akhirnya Tuhan makbulkan impian saya itu. Ternyata bukan mudah terutama dalam hal yang membabitkan soal iman.
"Namun, saya bersyukur kerana akhirnya impian saya itu terlaksana apabila dapat bersama-sama jemaah menjalankan kerja-kerja dakwah. Doakan semoga perjalanan saya dalam mencari kefahaman ilmu agama lancar dan kekal istiqamah dengan jalan yang saya pilih ini," kata penyanyi dan pelakon, Aliff Aziz.
Perkongsian suami kepada penyanyi dan pelakon Bella Astillah itu mengenai pembabitannya dalam jemaah tabligh menerusi media sosial, baru-baru ini, mengukuhkan hakikat hidayah itu milik Allah.
Klik untuk gambar besar
Siapa sangka, Aliff yang sebelum ini sering terpalit dengan kontroversi 'panas', akhirnya dibuka pintu hati untuk melakukan penghijrahan. Sejahil mana pun seseorang dan sebanyak manapun dosa yang dilakukan, jika Allah membuka jalan, pastinya segala urusan dipermudahkan.
Berkongsi kisah di sebalik perubahan kerohaniannya, Aliff mengaku ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan selain cabaran besar yang menanti setiap detik. Justeru, kata penyanyi yang popular menerusi lagu 'Sayang-Sayang' ini, hanya doa yang diharapkan untuk dirinya terus tabah menempuh ujian dan istiqamah.
"Suatu perkara yang membuatkan saya kagum dengan jemaah ini adalah setiap orang dilayan sama rata, tanpa mengira status atau pengalaman silam. Walaupun ada jurang status yang sangat besar, namun, setiap daripada mereka dianggap sama. Masing-masing adalah hamba Allah.
"Saya sangat bersyukur kerana berada dalam lingkungan mereka yang saling mendorong dan memberi nasihat. Iman bagi mereka yang baru belajar mendalami agama umpama anak kecil yang diberi mainan. Ketika anak-anak mula mendapat mainan, mereka sangat seronok. Namun, lama-kelamaan keterujaan itu akan hilang. Begitulah juga ibaratnya iman kepada seseorang.
"Walaupun sebelum ini saya tidak pernah korbankan apa-apa untuk agama Allah, tetapi Allah masih bukakan jalan ini untuk saya. Saya yakin semua yang berlaku ini adalah berkat doa ummi, ayah dan semua pihak. Sebelum ini, fasa kehidupan saya agak susah. Namun, sekarang, saya bersyukur kerana hubungan keluarga bertambah baik.
"Tidak dinafikan, Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 merapatkan kami. Kalau sebelum ini jarang telefon, tapi hari ini, kami sering berhubung untuk bertanya khabar dan bertukar pendapat. Saya semakin rapat dengan isteri dan anak-anak. Seronok melihat anak saya, Ayden Adrean dan Ara Adreanna membesar di depan mata.
"Tiada apa yang diharapkan selain doa dari anda semua. Bukan sahaja untuk saya, sebaliknya untuk mereka yang berada dalam industri seni yang sedang menuju ke arah kebaikan. Saya masih aktif dalam bidang nyanyian dan lakonan. Cuma, sama seperti artis lain, PKP menyebabkan aktiviti seni terhenti seketika.
"Walaupun sudah berubah ke arah yang lebih baik, namun, itu tidak bermakna saya perlu letakkan syarat dalam lakonan terutama dalam soal babak bersentuhan. Saya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak. Apa yang boleh saya lakukan adalah berdoa iaitu jika perkara itu baik untuk saya, semoga Allah dekatkan. Jika sebaliknya, harap dijauhkan.
"Apa sahaja watak yang ditawarkan, saya akan terima kerana bagi saya itu adalah rezeki. Lagipun saya sudah lama berehat," ungkap lelaki berusia 30 tahun yang juga abang kepada penyanyi Aisyah Aziz ini.
________________________

No comments:
Post a Comment