11 August 2021

BAPA ARWAH SITI SARAH: "SAYA RASA DUNIA INI MACAM SESEPI-SEPINYA"



Bapa kepada penyanyi Allahyarham Siti Sarah iaitu Raissuddin Hamzah yang juga penyanyi popular sekitar tahun 1980-an itu telah berkongsikan kedukaannya selepas sehari lebih pemergian puteri kesayangannya pada Isnin lalu. Raissuddin berkata dia hilang kata-kata apabila menantunya Shuib memaklumkan anaknya itu sudah tiada. Ujarnya, dunia ini dirasakan sepi sebaik sahaja menerima perkhabaran tersebut.

"Saat Shuib datang dan melutut di hadapan saya sambil memberitahu Sarah sudah tiada, saya tidak tahu nak berkata apa. Saat itu, saya rasa dunia ini macam sesepi-sepinya. Saya tuan-tuan lebih faham perasaan saya. Kalau diminta komen, saya tak tahu macam mana nak jawab.

"Kalau dulu-dulu, sewaktu bersama dengan Sarah menyertai mana-mana pertandingan, apa sahaja pertanyaan wartawan, mudah untuk saya jawab. Tetapi yang ini, memang payah. Cuma yang saya harapkan, doakan Sarah agar tenang di sana. Kita hanya dapat mengenang dan dia takkan kembali lagi," jelasnya selepas bacaan tahlil dan doa selamat secara virtual untuk anaknya malam tadi.

Sebagai seorang bapa, Raissuddin yang masih kurang sihat selepas turut dijangkiti Covid-19 itu turut menyifatkan pemergian Siti Sarah yang juga ibu kepada empat orang cucunya itu ketentuan Ilahi.

"Sebenarnya apa yang berlaku, apa yang terjadi adalah satu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah. Bukan rancangan kita bukan rancangan siapa-siapa. Ini yang dikatakan takdir, ini yang dikatakan ketentuan, ini yang dikatakan nasib. Tiga perkara, bunyinya berbeza. Apabila berlaku, saya tak tahu nak kata apa-apa," katanya dengan suara bergetar.

Klik untuk gambar besar



Ditanya tentang kasih sayang semua yang rata-rata begitu terkesan dengan pemergian anak keduanya itu, dari kaca mata seorang bapa, Sarah disifarkan sebagai seorang yang sangat taat kepada orang tua.

"Dia seorang anak yang sangat baik dan tak pernah membantah dan melawan cakap saya. Allahyarham juga seorang yang manja dengan saya. Banyak kenangan manis kami bersama sepanjang 37 tahun hidupnya.Sebelum berkahwin, banyak kenangan manis yang tak dapat dilupakan. Kami banyak bersama sampailah saya lepaskan dia untuk dijaga oleh Shuib.

"Sehari sebelum dia pergi ke hospital, semasa saya sedang baring di atas sofa, dia datang pegang tangan saya Kami berpegangan tangan tetapi tidak berkata apa-apa," ujarnya dalam nada beremosi.

Majlis yang turut disertai Shuib bersama lebih 600 kenalan termasuk selebriti dan kenalan Allahyham Siti Sarah itu turut diserikan dengan kemunculan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: