26 August 2021

BERAT BADAN TINGGAL 38KG - IBU IZUAN FITRI KESAL SENIMAN TAK TANYA KHABAR



"Saya mengharapkan SENIMAN, tetapi batang hidung pun tidak nampak. Jangankan berikan bantuan, telefon bertanya khabar jauh sekali. Takkan bila keluar kisah dalam akhbar baru nak ambil tindakan? Saya pelik. Adik bukan pelakon biasa-biasa, dua anugerah kali menang trofi pelakon kanak-kanak terbaik.

"Jika orang luar kenal, takkan SENIMAN tidak kenal. Adik berlakon dari kecil, dari zaman bergelar ekstra, bukannya tiba-tiba sahaja melonjak nama sebagai pelakon," ujar ibu kepada pelakon remaja Izuan Fitri, Nor Abdul Rani, 57, yang meluahkan perasaan kesal apabila Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) langsung tidak bertanya khabar atau membantu anaknya.

Nor berkata, anaknya itu menerima bayaran RM50, malah pernah juga tidak dibayar: "Adik mula berlakon drama Pangkin Atok pada sekitar 2010 dan mula menjadi perhatian pihak produksi. Saya tahu Adik tidak popular berbanding pelakon kanak-kanak lain, tetapi sepatutnya SENIMAN hulurkan bantuan, sekurang-kurangnya melawat Adik di hospital," katanya.

Untuk makluman, Izuan berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak zaman kanak-kanak dan pernah memenangi beberapa anugerah. Pelakon filem 'Butak' itu pernah menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016.

Klik untuk gambar besar



Berkongsi perkembangan terkini, Nor berkata, pelakon berusia 19 tahun itu dipindahkan ke IPR pada Selasa lalu. Katanya, dia kasihan melihat anaknya terlalu sudah kurus sebab tidak makan dan hanya terbaring atas katil.

"Sudah tiga hari ditempatkan di IPR, keadaan Adik masih sama. Saya pula hanya boleh melihatnya dari tingkap bilik. Adik sedar dan boleh menggerakkan badan, berbanding ketika berada di HKL. Saya panggil, Adik pandang, tetapi tidak tahu ingat saya atau tidak. Sebab kita tidak tahu apa yang sedang bermain dalam fikirannya. Adik hanya diam dan renung setiap orang.

"Doktor beritahu, Adik masih perlukan rawatan bagi memantau perkembangan kesihatan. Dia perlu menjalani beberapa ujian kesihatan dan menunggu masa yang sesuai untuk imbasan CT-Scan. Kini, berat badannya hanya tinggal 38 kilogram (kg). Saya sedih sangat, tengok badan Adik sudah seperti tinggal tulang," tuturnya dengan sebak.



Terdahulu, pelakon filem 'One Two Jaga' dan 'Munafik' itu dikejarkan ke Hospital Selayang, Selangor selepas tidak sedarkan dan diserang sawan berikutan penyakit batuk kering serta tibi dihidapi pada 31 Julai lalu. Izuan ditempatkan di Hospital Selayang selama lebih sebulan, kemudiannya dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani pembedahan dan dirawat selama tiga minggu sebelum dipindahkan ke IPR.

Dalam pada itu, Ibu Izuan terpaksa memohon bantuan orang ramai bagi membiayai kos perubatan anaknya yang baru menjalani pembedahan pada bahagian otak di HKL pada awal bulan ini. Nor yang juga ibu tunggal berkata, dia bukan sengaja meminta-minta atau meraih simpati, sebaliknya cuba berikhtiar demi memastikan Izuan mempunyai kelengkapan mencukupi untuk segera sembuh.

"Jujurnya, saya pening kepala mencari perbelanjaan buat Adik (Izuan). Ini kerana perbelanjaan menjadi bertambah besar selepas dipindahkan ke Institut Perubatan Respiratori (IPR). Dia memerlukan penyediaan kelengkapan khas seperti tilam untuk pesakit terlantar, lampin pakai buang, susu dan ubat-ubatan. Sebab semuanya kena beli sendiri di IPR, tidak seperti di HKL.


"Jadi, saya memang berdepan kesempitan duit. Untuk kelengkapan sahaja, ribuan ringgit perlu disediakan, itu belum kos rawatan sepanjang Adik di IPR. Saya beli ubat sawan di farmasi sekotak harga RM500, semalam. Itu belum termasuk susu, lampin pakai buang, losyen, pelapik lampin pakai buang, tisu basah, pelitup mulut dan hidung, kesemuanya selepas dikira anggaran wang diperlukan RM1700 sebulan bagi perbelanjaan Adik," jelasnya.

Nor berkata, duit simpanan pun tidak banyak, selain sukar mendapat kerja apabila sudah berusia. Tambah Nor, anak-anak lain tidak setuju meminta sumbangan, namun dia buntu memikirkannya, selain berharap orang ramai tidak memandang serong terhadap usahanya. Sebagai ibu, katanya, dia akan cuba sedaya upaya melakukan apa sahaja buat anaknya.

"Siapa mahu ambil saya bekerja dalam usia begini? Sebelum ini, saya berniaga, tetapi keadaan sekarang tidak mengizinkan. Namun, macam mana susah pun, saya tetap kena berusaha mencari duit membayar kos perubatan Adik. Cuma, jika ada bantuan mungkin sedikit sebanyak meringankan kesulitan yang dihadapi," katanya.

Bagi sesiapa mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubunginya menerusi laman sosial, Facebook, Nor Abdul Rani.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: