26 August 2021

IBU BAPA POSITIF COVID-19 - SABHI SADDI LUAH RISAU



"Sebelum ibu bapa, adik, anak saudara dan dua sepupu saya yang menetap bersama disahkan positif COVID-19 dan menjalani kurantin di rumah. Hampir menghabiskan tempoh kuarantin, tiba-tiba kelmarin, ibu saya disahkan positif COVID-19 selepas menunjukkan gejala dan menjalani ujian saringan.

"Semalam, bapa saya pula disahkan positif. Bapa baru pulang dari Sandakan. Kalau saya tahu lebih awal, saya tidak benarkan bapa pulang ke rumah dan meminta dia menginap di hotel sahaja," itulah kata penyanyi dan pelakon Sabhi Saddi, 36, yang berkongsi kerisauan apabila ibu bapanya di Kota Kinabalu, Sabah, disahkan positif COVID-19.

Sabhi memberitahu, ibu bapanya menunjukkan gejala seperti batuk, sesak nafas, hilang deria rasa dan selera makan berkurangan. Bagi memastikan keadaan kesihatan ibu bapa memuaskan, penyanyi yang popular dengan lagu 'Cinta Sesungguhnya' ini kerap memantau menerusi perhubungan dalam aplikasi WhatsApp keluarga.

Klik untuk gambar besar



"Buat masa ini, saya lebih selesa jika mereka menjalani kuarantin di rumah selagi keadaan tidak serius. Jika berada di pusat rawatan dan kuarantin, saya bimbang keadaan sekeliling akan membuatkan mereka lebih tertekan. Saya pantau perkembangan kesihatan ibu bapa dalam kumpulan WhatsApp keluarga dan beri kata-kata semangat.

"Biasalah orang tua, kita tidak boleh buat mereka sedih. Saya meminta adik membeli alat oximeter yang boleh memantau paras oksigen ibu bapa dari masa ke semasa," kata pelakon drama 'Awak Suka Saya Tak' ini.

Sabhi turut berkongsi berita itu pada akaun Instagram (IG), malam tadi. Dalam coretannya, Sabhi memohon peminat dan pengikut mendoakan agar ibu bapanya segera sembuh.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: