26 August 2021

AMIR HASAN KECEWA DITUDUH - ANDI BERNADEE MINTA 'JABATAN NETIZEN' BERHENTI FITNAH



Semua sedia maklum mengenai isu penyanyi Andi Bernadee dimana dia mendakwa rakan baik yang juga pembantu peribadinya melakukan pecah amanah dan 'songlap' wang miliknya berjumlah RM70,000. Susulan itu, Andi membuat laporan di Ibu Pejabat Balai Polis (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada pagi Rabu.

Dakwa Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile, 30, individu tersebut menggunakan aplikasi WhatsApp miliknya untuk berkomunikasi berkaitan urusan kerja yang melibatkan transaksi bayaran.

Namun begitu, tidak semena-mena nama penyanyi Amir Hasan dipetik netizen kerana didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menghilangkan wang milik rakannya itu. Terkejut dengan tuduhan itu, Amir atau nama sebenarnya Amir Abu Hasan, 25, tampil mempertahankan diri.

Klik untuk gambar besar



"Setahu saya, individu yang menipu Andi itu adalah orang yang menguruskan kerjayanya. Sejak bila pula saya mengurus kerjaya Andi? Tak masuk akal! Semalam selepas saya video call dengan kawan, saya buka IG tiba-tiba banyak mesej dan komen daripada netizen yang menyerang saya. Mereka tuduh saya sebagai individu yang ambil duit RM70,000 milik Andi. Banyak cacian dan makian daripada netizen yang saya terima.

"Mungkin netizen syak saya sebab hint yang Andi berikan. Kebetulan memang jangka masa saya kenal Andi sudah dua hingga tiga tahun. Andi pun antara orang yang banyak bantu saya masuk dalam industri. Memang saya kawan baik Andi tapi saya bukan individu yang didakwa," katanya.

Dalam pada itu, Andi menerusi laman Instagram turut menegaskan Amir Hasan bukan individu yang mengambil wang hasil kerja kerasnya sepanjang tahun ini. Andi turut memohon agar semua netizen berhenti membuat andaian dan menuduh rakan-rakan selebritinya.



"Saya terkejut ada rakan-rakan artis yang telah dituduh berikutan kes 'pecah amanah' saya. Saya mohon kepada 'jabatan netizen' hentikan aktiviti fitnah-memfitnah untuk mengisi masa lapang. Saya dah serahkan semuanya kepada pihak polis dan peguam. Doakan saya, agar dapat tegakkan kebenaran dan hak saya setelah berhempas pulas demi mencari rezeki untuk saya dan keluarga," tulisnya.

Sementara itu, Amir mengakui dia sedih dengan tindakan segelintir netizen turut membabitkan Allahyarham bapanya dalam hal itu. Kata penyanyi lagu 'Bicaramu' ini, netizen mencaci arwah bapanya sebagai tidak memberi didikan yang betul sehingga dia sanggup berbuat demikian.

"Paling saya sedih apabila ada netizen yang mengaitkan nama arwah bapa saya. Dia komen kata bapa saya tak beri duit ke sampai nak curi duit orang. Tapi individu tersebut telah memadam komen itu. Malam tadi pun saya ada hubungi Andi untuk beritahu benda ini," ujarnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: