Naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelima (AF5), penyanyi Ebi Kornelis, 38, memaklumkan dia dan bapanya, Yaimal Muhammad, 74, telah disahkan positif COVID-19, menerusi laman Facebook (FB), semalam.
Difahamkan, Ebi kini sedang dirawat dan ditempatkan di Hospital Tuaran, Sabah manakala bapanya pula di Hospital Queen Elizabeth. Ebi berkata, dia tidak pasti bagaimana boleh mendapat jangkitan pandemik berkenaan. Bagaimanapun, Ebi memberitahu, dia mula mengalami sesak nafas dan bergegas ke hospital, kelmarin.
"Sejujurnya, saya tidak tahu jangkitan dari mana. Seingat saya, hanya menemani ibu bapa mendapatkan suntikan vaksin dos pertama pada 27 Julai lalu.
"Bagaimanapun, saya mula rasa tidak sedap badan dan demam, tiga hari kemudian. Keesokannya, saya melakukan ujian calitan dan disahkan positif. Begitu juga dengan bapa turut positif COVID-19.
Klik untuk gambar besar
"Saya dan bapa ke hospital, dua hari lalu. Bagaimanapun, saya dibenarkan pulang menjalani kuarantin kendiri di rumah, manakala bapa ditahan di pusat kuarantin kampus Institut Tadbiran Awam Negara atau INTAN.
"Selepas diperiksa, saya diarahkan ke pusat kuarantin kampus INTAN. Bapa pula dari pusat kuarantin diarah ke Hospital Queen Elizabeth kerana kekurangan oksigen. Hari ini, saya dipindahkan dari pusat kuarantin ke Hospital Tuaran kerana mengalami sesak nafas berpanjangan," katanya.
Tambah Ebi lagi, dia bimbang dengan keadaan ibunya, Reni Bakar, 81, yang masih menunggu Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
"Mama kini berada di rumah di Kampung Padas Baru, Tebobon. Mama belum melakukan ujian calitan. Saya sendiri tidak tahu bagaimana keadaan Mama kerana kini berada di hospital. Saya cuba menghubunginya, namun panggilan tidak berjawab," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment