12 August 2021

"DEPOSIT SUDAH PUN DIJELASKAN" - FENDY TERIMA KUNCI RUMAH PPR ESOK



"Insya-Allah, esok saya akan pergi mengambil kunci... Deposit sudah pun dijelaskan. Sebaik terima kunci, saya akan pergi periksa keadaan rumah, tengok jika ada kebocoran atau sebagainya.

"Selepas dibaiki dan semuanya okay, barulah saya berpindah ke kediaman baharu," itulah kata pemain dram Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, yang memaklumkan dia akan menerima kunci unit kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia, Bandar Tun Razak, di sini, esok, selepas tujuh tahun menanti.

Berkongsi berita gembira itu, Fendy berkata, dia sudah menguruskan pembekalan tenaga elektrik ke rumah baharunya itu sebelum mengambil kunci di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (BDKL).

Baru-baru ini, Fendy yang sudah lama berusaha mendapatkan kediaman mampu milik atau PPR, menerima surat tawaran kediaman PPR Taman Mulia, Bandar Tun Razak daripada Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, di pejabatnya.

Klik untuk gambar besar



Fendy yang juga bapa tunggal berkata, anaknya, Nur Azalea Zafirah yang berusia enam tahun, teruja hendak berpindah ke rumah baharu. Ditanya mengenai urusan penjagaan anak kerana ketika ini, Fendy menetap di penempatan sama dengan bekas isteri, beliau berkata, perkara itu tidak menimbulkan masalah.

"Sekarang kami tinggal di projek apartment sama. Selepas berpindah, kami akan atur ikut keselesaan masing-masing. Kami tiada masalah dalam soal itu," ujarnya.

Fendy dan bekas isterinya, Nur Nadira yang juga ahli kumpulan Caliph Busker, berkahwin pada 2014 dan berpisah tiga tahun kemudian. Sementara itu, Fendy berkata, dia akan menganjurkan 'showcase' secara maya buat kali pertama pada 21 Ogos depan.



"Pada Showcase Mengharapkanmu, saya akan menyanyikan lagu ciptaan sendiri dan lagu saya bersama Caliph Buskers. Saya akan selit pengalaman dan kisah hidup termasuk sejarah Caliph Buskers dalam persembahan itu. Penonton juga boleh bertanya soalan," katanya.

Fendy berkata, persembahan secara virtual itu dibantu pemuzik dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan beberapa penganjur lain.

"Saya bekerjasama dengan penganjur seperti Tempatan Fest, VillaPria Studio dan Photoclique Photography. Alhamdulilah, ramai yang mahu membantu," katanya yang gementar kali pertama menjayakan 'showcase' berbayar secara virtual.



Peminat yang mahu membeli tiket berharga RM10 tidak termasuk caj perkhidmatan boleh layari http://fendy.ubertickets.my.

Sebelum ini, Fendy meluahkan kegusaran kerana selepas hampir sebulan dikunjungi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun, dia belum mendapat perkhabaran mengenai permohonan mendapatkan rumah mampu milik DBKL atau PPR.

Pendapatan Fendy terjejas teruk akibat penularan COVID-19 sehingga sukar membayar sewa rumah sebanyak RM1,300 sebulan selain perbelanjaan lain untuk anak perempuannya.

Pada 9 Julai lalu, tular video yang dimuat naik Fendy di Facebook (FB) yang merayu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: