04 August 2021

FENDY AKUI SUDAH HAMPIR SEBULAN TIADA 'BAYANG' RUMAR PPR



Pemain dram kumpulan Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, ketika ditanya mengenai permohonan rumah mampu milik DBKL yang diinginkannya kerana kini berhadapan masalah kewangan, memberitahu sudah hampir sebulan dia masih belum menerima khabar.

Fendy dihubungi berkata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang datang melawat di kediamannya di Sentul pada 10 Julai lalu ada memaklumkan pihak beliau akan memastikan permohonannya untuk rumah itu akan diuruskan dalam kadar segera.

"Dram elektrik yang dijanjikan saya dah dapat, tapi 'bayangan' rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memang saya harapkan sangat tidak tahu lagi statusnya macam mana.

"Tapi, dah hampir sebulan saya masih lagi tidak mendapat sebarang perkembangan berita mengenai status permohonan yang sudah dibuat. Ikutkan saya, sudah isi segala borang dengan maklumat lengkap diperlukan pihak DBKL. Cuma, surat akuan sumpah mengatakan saya kerja sendiri tidak dapat disertakan kerana tiada pejabat pesuruhjaya sumpah dibuka berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Pihak DBKL pun sudah beberapa kali saya hubungi tetapi tak tahu nak rujuk pada siapa yang boleh bantu dan akhirnya tiada jawapan diperoleh. Saya nak bergerak pergi ke bangunan DBKL pun tak berapa pasti sebab sekarang masih PKP. Saya tak tahu pegawai-pegawai itu kerja di pejabat atau dari rumah," katanya.

Sementara itu, berhubung bantuan bulanan dipohon seperti Elaun Pekerja Cacat (EPC) dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Baitumal, Fendy berkata untuk bantuan itu pun dia masih belum mendapat sebarang perkembangan terkini.

"Sekarang ini, saya hanya mengharapkan untuk dapat rumah mampu milik itu sahaja. Ini kerana, bayaran sewa bulanannya tidak tinggi dan jika ada lebihan pendapatan boleh saya buat simpanan masa depan.

"Dapatlah saya berjimat banyak untuk diri sendiri dan anak. Pada zaman Covid-19 sekarang ini, saya tak tahu bila situasi pandemik ini akan berakhir. Jadi, saya memang kena berjimat-cermat perbelanjaan," tuturnya.

Ditanya kawasan perumahan DBKL yang ingin didiaminya, Fendy berkata dia kalau boleh mahu tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Mulia Bandar Tun Razak kerana sangat dekat dengan kemudahan pengangkutan awam iaitu stesen Transit Aliran Ringan (LRT).

"Saya cacat penglihatan, jadi saya memang memerlukan kawasan kediaman yang dekat dengan LRT untuk memudahkan bergerak. Selain itu, kawasan PPR itu juga dilengkapi dengan kedai dan kemudahan komuniti masyarakat yang boleh digunakan orang kurang upaya (OKU) seperti saya," ujarnya.

Terdahulu, sebelum ini tular video yang dimuat naik Fendy di Facebook yang memohon Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memudahkan permohonannya mendapatkan rumah mampu milik DBKL.

Ia berikutan, pendapatan Fendy terjejas teruk hingga dia sukar membayar sewa ruamh serta menyara anak perempuannya, Nur Azalea Zafirah, 6, yang juga cacat penglihatan dan kanak-kanak istinewa kerana penularan Covid-19.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: